Malaysia Dateline

Majlis Presiden PBS bertegas sokong Mahathir, Pakatan Harapan

Majlis Presiden Parti Bersatu Sarawak (PBS) bertegas tetap menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia sekali gus dibuktikan penarikan balik kenyataan Ahli Parlimen Sri Aman (PBS), Datuk Masir Kujat menerusi kenyataannya pada rakaman video yang menyatakan sokongan beliau kepada pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Menerusi kenyataan media di Kuching hari ini, Majlis Presiden PBS berkata, selepas membuat pertimbangan sewajarnya, mereka memutuskan sedemikian kerana dasar parti itu adalah ia mesti menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Masir Kujat

Tegasnya, sokongan ke atas Dr Mahathir dibuat atas sebab gabungan Pakatan Harapan (PH) dipilih sebagai kerajaan oleh rakyat pada Pililhan Raya Umum (PRU) ke-14 Mei 2018, tambah Majlis Presiden PSB.

Sebelum ini dilaporkan Masir, Ahli Parlimen Sri Aman juga ahli Majlis Presiden PSB telah bersetuju dengan keputusan itu dengan menolak sebarang jawatan dalam Kerajaan Persekutuan jika ditawarkan.

Majlis Presiden PSB turut menjelaskan, mereka akan menolak sebarang tawaran jawatan walaupun jika gabungan PH kembali berkuasa.

“Pada PRU ke-14 Barisan Nasional (BN) berjaya dikalahkan buat pertama kalinya selepas memerintah Malaysia dalam tempoh lebih separuh abad.

” Dengan demikian, pengundi di negara ini telah membuat keputusan untuk mengubah dan menyerahkan kuasa kepada Pakatan Harapan.

“Maka, PSB berpendapat menidakkan kehendak rakyat adalah sesuatu yang salah,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden PSB menambah, situasi yang tidak boleh dinafikan ialah pergolakan politik berlaku minggu lepas setelah hasrat majoriti pengundi pada 2018 untuk perubahan tidak seperti diharapkan.

Katanya, PSB tidak semestinya bersetuju dengan PH dan akan bersaing habis-habisan dengan PH di samoing Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Tetapi PSB tidak menafikan hasrat rakyat yang diluahkan pada PRU ke-14, iaitu PH seharusnya membentuk Kerajaan Persekutuan,” kata ahli Majlis Presiden PSB.

“Untuk itu, Majlis Presiden PSB memutuskan kenyataan Yang Berhormat Dato Masir Kujat menerusi rakaman video, ditarik balik.

“PSB akan menyokong Tun Dr Mahathir dan PH kerana mahu menghormati hasrat dan pilihan rakyat pada PRU ke-14. Kami percaya ia adalah hak bermoral untuk berbuat demikian,” ujar kenyataan itu.

Pada malam Sabtu lalu, Masir menerusi rakaman video yang tular dalam media sosial menafikan beliau menyokong Dr Mahathir sebaliknya menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.