Malaysia Dateline

Majlis Presiden perlu selesaikan isu babit komponen parti agar tidak berlarutan, jejas imej

Konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Presiden dan Timbalan Peresiden serta siapa bakal Perdana Menteri ke 8, perlu dilihat sebagai keutamaan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan membincangkan isu tersebut dalam mesyuarat akan datang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional Muhammad Faiz Fadzil walaupun komponen parti dalam Pakatan Harapan (PH) sewajarnya tidak mencampuri urusan parti lain, namun dua isu itu sedikit sebanyak menjejaskan kebolehpercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang kini didokongi PH.

Muhammad Faiz Fadzil

” Saya percaya kita (komponen PH) tidak boleh mencampuri urusan dalaman mana-mana parti.

“Tetapi isu yang berbangkit turut tersangkut dengan imej parti dalam gabungan.

“Imej dan hala tuju PH kini perlu dibincangkan di bawah Majlis Presiden agar dapat menyelesaikan segera isu-isu dalaman parti komponen.

“Setiap ahli parti masing-masng diberikan hala tuju yang lebih besar. Kita tidak mahu ahli terbawa kepada konflik politik yang tiada berkesudahan ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa saranan yang dikemukakan oleh ahli dan komponen parti agar Majlis Presiden mengambil jalan tengah mengendurkan ketegangan dagar ia tidak berlanjutan yang akan  mencemarkan imej PH.

Antara pimpinan yang menyuarakan pandangan ialah  saranan Naib Pengerusi 1, AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau dipetik berkata, Majlis Presiden perlu  segera bermesyuarat bagi mencari kesepakatan dan persefahaman baru dalam isu membabitkan pertelagahan parti dan siapa bakal Perdana Menteri, demi keutuhan PH.

Manakala Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder turut berkata, kebimbangan ekoran kemelut yang dilihat memberi banyak ruang kepada pembangkang untuk mengeksploitasi setiap isu yang berbangkit seperti apa yang terjadi pada Kongres Keadilan Nasional di Melaka pada 6 Disember lepas.

Beliau dipetik berkata PKR tidak harus mengekalkan virus dalam parti tersebut kerana ia mampu mencalarkan imej parti dan memberi persepsi negatif komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Semalam Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menasihati pemimpin politik yang berkelahi supaya mencari jalan penyelesaiannya. Beliau dipetik berkata sekiranya ada perkara-perkara yang berbangkit, mereka perlu menyelesaikan masalah tersebut tanpa menyebut parti yang terbabit kini berhadapan dengan krisis dalam ahli dan pimpinannya.

Tambah Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir,   PH sebagai sebuah parti komponen yang kini menerajui kerajaan, banyak perkara lain perlu difikirkan bersama untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

” Kita (parti komponen) ada kerja lain lebih utama dan penting untuk bina negara, dalam usaha menyelesaikan isu rakyat, masalah ekonomi dan kumpulan sasar yang perlu PH  diutamakan.

“Isu-isu yang berlegar di kalangan ahli parti dan pemimpin politik perlu diselesaikan segera. Ini kerana ia akan dapat membawa  imej yang baik kepada rakyat. Secara tidak langsung ini menunjukkan PH benar-benar melaksanakan kerja mereka.

“Siapa juga pemimpin parti atau bakal Perdana Menteri saya harap semua dapat bergerak dan bekerja sebagai satu pasukan, biarpun apa juga keputusan kelak, bukan isu yang sepatutnya perlu semua pihak membincangkannya hingga terlalu mendalam,” tegasnya.