Malaysia Dateline

Majlis Presiden PH akan bincang kerusi Cameron Highlands dalam waktu terdekat

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan isu kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat itu akan diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

“Kita akan adakan mesyuarat PH. (Mesyuarat akan) menyusul ntuk buat keputusan bagaimana nak tangani situasi baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari.

Muhammad Adin mengalami kecederaan teruk dalam insiden rusuhan yang cetus di di Kuil Sri Maha Mariaman, USJ 25, Subang Jaya, pada Isnin dan Selasa lalu.

Hakim Datuk Azizah Nawawi hari ini membuat keputusan pembatalan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh anggota Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.

Pada 4 Jun lepas, calon DAP M. Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lepas bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi anggota bomba berusia 24 tahun itu dan keluarganya.

Beliau turut menyarankan supaya bilang pelawat yang mengunjungi Muhammad Adib perlu dikurangkan bagi memastikan anggota bomba itu dirawat dengan sebaik mungkin.

Kita tidak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana semua ini pembawa kuman, katanya.

“ Dia (Muhammad Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini. Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia dalam keadaan sangat terdedah. Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga.

“Sebab itu saya rasa penting kita jaga semua ini. Doakanlah, sekurang-kurangnya dengan doa kita, dia beransur pulih,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, Muhammad Adib, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, dipukul kumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil berkenaan bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.