Malaysia Dateline

Majlis Presiden PH minta Mahiaddin undur diri jika enggan buka Parlimen

Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

PH berkata, titah itu jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.

Bagaimanapun menurut PH, jika Tan Sri Mahiaddin Md Yasin enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri.

“Kami mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera.

“Amatlah penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan.

“Selain itu, Ordinan-ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat dapat dibincang, dan suara rintihan isi hati rakyat dapat didengar dengan jelas.

“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama AMANAH, Mohamad Sabu; PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan DAP, Lim Guan Eng

Pada semalam, Raja-raja Melayu yang bermesyuarat dengan Yang di-Pertuan Agong berpendapat, darurat tidak perlu disambung lagi selepas 1 Ogos nanti dan pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Raja-raja juga sependapat dengan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen perlu bersidang segera.

Keputusan ini dicapai selepas kesemua sembilan Raja-raja Melayu bertemu di Istana Negara selepas Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan kesemua pemimpin politik sejak minggu lalu.