Malaysia Dateline

Majlis Presiden PH putus tolak Belanjawan 2021

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bersidang sehari sebelum penggulungan Belanjawan 2021 iaitu pada 25 November, telah mengambil keputusan untuk menolak Belanjawan 2021.

Keputusan itu dibuat oleh tiga pimpinan tertinggi setiap parti PH dan dimaklumkan keputusan itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebaik sahaja keputusan itu dicapai.

Namun, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub (gambar), di saat-saat terakhir sebelum pengundian dibuat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan agar undi secara mulut sahaja dibuat bukannya undi belah bahagi.

Atas arahan itulah, bagi menghormati arahan ketua pembangkang, Ahli Parlimen Pulai itu tidak bangun untuk menyokong agar undi belah bahagi diadakan.

“Saya dan Presiden Mohamad Sabu sebenarnya telah pun bangun untuk menyokong cadangan agar undi belah bahagi dibuat. Namun apabila saya lihat presiden duduk semula, saya pun ikutlah, bagi menghormati presiden.

“Yang jauh di belakang saya kekal berdiri,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline menerangkan apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat semalam.

Enam ahli Parlimen AMANAH bersama tujuh yang lain telah bangun bagi menyokong undi belah bahagi itu diadakan selepas ia dicadangkan oleh Datuk Mahfuz Omar (AMANAH – Pokok Sena).

Namun undi belah bahagi tidak boleh dibuat selepas tidak mendapat cukup sokongan apabila hanya mendapat 13 penyokong sahaja sedangkan keperluan minima adalah 15 penyokong.

Malaysia Dateline difahamkan, Datuk Seri Anwar selaku ketua pembangkang telah mengarahkan ketua whip Pakatan Harapan, Datuk Johari Abdul memaklumkan kepada semua MP PH agar menolak Belanjawan secara mulut sahaja bukannya melalui undi belah bahagi.

Arahan itu dibuat sebaik sahaja sidang Dewan Rakyat bersedia untuk membuat undian samada ia hendak diluluskan atau tidak.

Sehingga kini tidak diketahui dengan jelas apakah punca Anwar membuat arahan sedemikian.