Malaysia Dateline

Majlis Presiden PH putuskan calon PM, utamakan usaha ambil kembali kerajaan

Keputusan mengenai calon Perdana Menteri wajar dibincang dan diputuskan secara bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad.

Menurutnya, pencalonan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai Perdana Menteri adalah cadangan secara tidak rasmi ketika pertemuan pemimpin AMANAH, DAP, Warisan dan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Pendirian tersebut diputuskan selepas Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) AMANAH mengadakan mesyuarat petang semalam untuk berbincang mengenai pencalonan Mohd Shafie.

“Mesyuarat mengambil maklum bahawa cadangan ini adalah untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan Ahli Parlimen bagi PH membentuk semula kerajaan.

“Setelah mengambil pandangan daripada semua ahli-ahli mesyuarat, JKP Nasional AMANAH menganggap bahawa persoalan ini perlu diputuskan bersama di dalam Majlis Presiden PH,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, keputusan tersebut bagi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan berkenaan calon Perdana Menteri memandangkan usaha mengambil kembali kerajaan adalah sesuatu yang perlu diutamakan.

Sehubungan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, mesyuarat JKP Nasional bersetuju untuk merujuk perbincangan berkaitan pencalonan Perdana Menteri kepada Majlis Presiden PH dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama.