Malaysia Dateline

Majlis Presiden putus Anwar bincang dengan Shafie calon PM

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyerahkan mandat penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berhubung calon Perdana Menteri untuk gabungan PH Plus.

Majlis Presiden dalam satu kenyataannya berkata, perkara tersebut diputuskan bersama dalam mesyuarat hari ini yang membincangkan beberapa perkara penting dan isu semasa menjelang sidang Parlimen akan datang.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Mohamad Sabu; PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan DAP, Lim Guan Eng.

Pada masa sama, Majlis Presiden turut memutuskan secara sebulat suara untuk menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan membawa usul menggugurkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalannya, Nga Kor Ming.

Usul menggantikan Speaker dan timbalannya itu dilaporkan media akan dibawa pada sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Selain itu, PH berkata, Majlis Presiden turut membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan Pakatan Harapan sebagai kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, gabungan itu konsisten dengan pendirian bahawa fokus kerajaan Persekutuan dan Negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak Covid-19.

“Justeru, PH berpandangan sekiranya berlaku Pilihanraya Umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka
kerajaan-kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan,” ujarnya.