PH sokong Majlis Raja-Raja, seru rakyat amal nilai murni bermasyarakat dan bernegara

PH sokong Majlis Raja-Raja, seru rakyat amal nilai murni bermasyarakat dan bernegara

Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menjunjung tinggi titah Majlis Raja-Raja Melayu yang menyeru semua rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Kebimbangan yang dizahirkan oleh ke bawah duli-duli tuanku mengenai tindakan-tindakan keterlaluan individu-individu tertentu yang boleh menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat berbilang agama dan berbilang kaum di negara ini juga harus dipandang serius oleh semua pihak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Presiden PKR itu berkata, partinya menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Sepertimana titah ke bawah duli-duli tuanku, lima prinsip Rukun Negara harus dijadikan panduan serta pedoman oleh semua pihak.

“Sesungguhnya kepelbagaian dan kerencaman agama, bangsa dan budaya merupakan rahmat dan kekuatan kita. Kepelbagaian dan kerencaman itu harus diraikan. Keharmonian di antara rakyat di negara ini harus dipertahankan,” ujarnya lagi.

Wan Azizah mengulas kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu hari ini, yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang dipetik berkata, rakyat wajib memahami dan menghormati prinsip-prinsip utama yang terkandung di dalam Perlembagaan Negara.

Majlis Raja-Raja Melayu memandang berat isu perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan rakyat berbilang agama dan berbilang kaum di negara ini.

Menurut kenyataan itu, Rukun Negara yang diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, pada 31 Ogos 1970, menggariskan lima cita-cita dan lima prinsip, harus menjadi kompas pedoman oleh semua pihak, baik pemimpin, pentadbir dan rakyat keseluruhannya.

8.5
OVERALL SCORE
: 7.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS