Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) yang akan diperhalusi Majlis Raja-raja lebih bertujuan mengekalkan ‘status-quo’ institusi Diraja dan bukannya bertujuan menolak rang undang-undang itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Datuk Dr Radzuan Che Ros.
Beliau berkata, rakyat dan pemimpin politik perlu melihat keperluan menggubal RUU MKN itu bersandarkan kepada kepentingan dan keselamatan negara bukan bertujuan penyalahgunaan kuasa di kalangan eksekutif dan legislatif seperti memberi kuasa mutlak kepada seorang Perdana Menteri.
“Saya pasti Majlis Raja-raja akan persembahkan ‘observation’ mereka yang lebih dilihat untuk mempertahankan institusi Diraja dan kuasa mutlak Yang Dipertuan Agong dalam konteks pengubalan RUU MKN ini.
“Semua pihak sudah diberikan peluang untuk mengeluarkan hujah masing-masing sehingga RUU MKN ini dibahaskan di Parlimen di kalangan pemimpin politik semua parti.
“Kali ini kita perlu beri peluang kepada Peguam Negara untuk mempersembahkan butiran terperinci berkaitan RUU MKN ini kepada Majlis Raja-raja untuk menyatakan pendirian institusi itu terhadap RUU MKN,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Sesetengah pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa RUU MKN jika diluluskan akan memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan atau ‘security area’.
Mengulas kebimbangan ini, Radzuan menjelaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong hanya dalam pengiystiharan darurat sahaja tetapi kawasan larangan diberi kuasa kepada Perdana Menteri.
“Apa yang berlaku ramai yang silap mentafsir ‘kawasan larangan itu bersamaan dengan pengisytiharan darurat’ membabitkan seorang Perdana Menteri. Tidak akan berlaku begitu dari sudut perundangan dan pelaksanaannya.
“Kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digugat mengikut peruntukan sedia ada.
“Tidak akan berlaku situasi di mana Perdana Menteri akan mengambil alih kuasa Yang Dipertuan Agong iaitu untuk mengiystiharkan darurat tanpa merujuk kepada Majlis Raja-raja dan diperkenankan Yang Dipertuan Agong,” jelasnya.
Beliau menjangkakan tidak akan berlaku penolakan RUU MKN oleh Majlis Raja-raja dalam mesyuarat yang diadakan hari ini di Istana Negara.
“Tak sampai ke situ (penolakan RUU MKN) hanya bahagian-bahagian tertentu yang mungkin nak diperhalusi lagi,” ujarnya.
Semalam dalam satu kenyataan rasmi, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Majlis Raja-raja menzahirkan beberapa peruntukan dalam RUU MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara, Kuala Lumpur.