Malaysia Dateline

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH satu kejayaan, erat hubungan kaum

Kemeriahan Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (AMANAH) yang diadakan hari ini, membuktikan parti itu sememangnya mementingkan keharmonian antara kaum di negara ini.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Hatta Ramli menyifatkan sambutan rumah terbuka yang diadakan di Taman Kejiranan Ayer Panas, Jalan Semarak itu sebagai satu kejayaan.

Dr Hatta Ramli mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha menjayakan majlis dengan lancar dan meriah.

Beliau berkata, majlis yang bermula jam 11 pagi itu turut dihadiri perwakilan luar negara dan juga tetamu dari dalam dan luar Kuala Lumpur.

Pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri AMANAH yang diadakan bermula jam 11 pagi tadi.

“Situasi itu memberi gambaran bahawa parti kita sentiasa bersama-sama dengan rakyat.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) yang hadir iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Azmin Ali, wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga DAP.

Mohamad Sabu menyambut ketibaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kehadiran mereka memberi gambaran kerjasama rapat antara parti-parti politik di bawah PH, dan majlis seperti ini sememangnya merapatkan hubungan sesama kita.

“Saya juga bangga dengan petugas-petugas kita di wilayah yang telah bekerja keras memastikan persiapan dibuat secara terbaik dari segi tempat juga penyediaan makanan,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, di lokasi majlis itu, hari ini.

Turut hadir, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden, Datuk Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung, Mohd Anuar Mohd Tahir; dan Pengarah Komunikasi, Khalid Abd Samad.

Mengulas mengenai lokasi sambutan yang dipilih, Dr Hatta berkata pihaknya memilih Taman Kejiranan Ayer Panas kerana mahukan satu tempat berhampiran dengan rakyat.

“Lokasi kami pilih ini juga sebagai ‘pameran’ kepada tetamu kita bahawa di Kuala Lumpur ada penempatan yang sangat hebat.

“Penduduk dari PPR Air Panas pun boleh datang sekali. Kerjasama dan hubungan antara parti dan rakyat dilihat lebih penting.

S Thirunuvukarasu

Sementara itu, tetamu yang ditemui Malaysia Dateline, S Thirunuvukarasu, 50 menyifatkan sambutan rumah terbuka itu sesuatu yang luar biasa.

“Saya lihat pelbagai kaum berkumpul di sini. Suasana memang meriah dan harmoni, makanan juga sedap-sedap,” katanya sambil tersenyum.

Chang Heng Wah, 46 pula berharap sambutan seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang.

Chang Heng Wah

“Saya rasa seronok hari ini sebab dapat lihat rakyat Malaysia makan sama-sama, selain bergambar beramai-ramai. Saya memuji program seperti ini, memang bagus,” katanya.