Malaysia Dateline

Majlis Senator Malaysia sambut baik tawaran biasiswa pelajar Palestin ke IPTA

Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menawarkan biasiswa sejumlah RM11.48juta kepada pelajar dari Palestin ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Raj Munni Aiman Athirah Sabu berkata,ia adalah satu langkah dan tindakan yang sangat tepat, sekaligus menunjukkan keikhlasan dan komitmen Kerajaan Malaysia dalam usaha membela nasib negara dan ummat yang telah tertindas sejak sekian lama oleh Negara Haram Zionis Israel.

Namun beliau berpendapat di sebalik langkah positif kerajaan itu masih wujud segelintir kumpulan yang membantah pengumuman itu.

Beliau merujuk kepada bantahan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong yang dalam nada sinikal telah meminta Kerajaan Pakatan Harapan supaya menjaga keperluan semua kaum dalam negara ini.

“Saya boleh memahami bahawa kenyataan itu sebagai satu kaedah supaya MCA dilihat lantang memperjuangkan isu pendidikan ketika parti itu semakin tidak relevan dalam arena politik negara.

“Sepatutnya Chee Hiong menyokong pemberian biasiswa ini kerana jumlah yang ditawarkan sebenarnya agak kecil berbanding kemusnahan dan kehilangan harta benda yang para pelajar dari Palestin ini hadapi sejak kecil.

“Chee Hiong juga sepatutnya menyokong pemberian biasiswa ini sebagai bukti bahawa hanya melalui pendidikan sahaja mana-mana manusia boleh mengubah nasib hidup mereka, keluarga dan seterusnya memainkan peranan menyumbang kembali kepada kebangkitan semula tanahair mereka yang musnah.

“Selepas sekian lama bekerjasama dengan Barisan Nasional dalam sebuah blok politik, Chee Hiong dan seluruh anggota MCA sepatutnya faham bahawa perjuangan Palestin adalah sebahagian komitmen Kerajaan Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Aiman Athirah berkata, semua pihak walaupun berbeza pandangan politik tetapi dalam isu kezaliman serta penindasan berbentuk jenayah kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia terutamanya di Gaza, Palestin perlulah bersatu tekad.

“Sekaligus menghulurkan apa sahaja bentuk bantuan yang dapat Malaysia usahakan.

“:Saya berharap agar Pas selaku parti yang berminat untuk berta’awun dengan MCA sebelum ini dapat membantu Chee Hiong untuk memahami isu Palestin ini daripada perspektif yang betul.

“Sekaligus berhenti daripada menggunakan apa sahaja kesempatan dan ruang untuk kepentingan politik kepartaian mereka yang sangat sempit, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan solidariti kemanusiaan Malaysia terhadap rakyat Palestin,” ujarnya.