Malaysia Dateline

Majlis Setiausaha PH gesa semua MP tolak belanjawan esok

Pakatan Harapan (PH) menggesa semua Ahli Parlimen sama ada di blok pembangkang mahupun kerajaan untuk bersama menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga esok.

Majlis Setiausaha PH berkata, belanjawan yang dibentangkan dan dibahaskan selama lebih tiga minggu ini tidak menepati objektif untuk memerangi Covid-19, membantu rakyat dan menghidupkan semula ekonomi.

“Pakatan Harapan sebelum ini telah menyatakan bahawa kami akan membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar dan jawatankuasa, dan akhirnya akan membuat undian belah bahagi pada bacaan kali ketiga.

“PH menggesa agar semua Ahli Parlimen, sama ada pembangkang mahupun penyokong kerajaan yang memahami bahawasanya belanjawan ini tidak menepati matlamat, supaya memilih menolak Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama antara AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; DAP, Anthony Loke.

Pada masa sama kata Majlis Setiausaha PH, apa yang diumumkan Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 mahupun dalam siri kenyataan medianya, sama sekali tidak memenuhi apa yang diharapkan Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat.

“Ini termasuklah isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium, bantuan kepada petugas barisan hadapan, pendidikan anak-anak, pendapatan yang berkurangan, pekerjaan yang hilang, kos sara hidup yang makin meningkat dan banyak lagi,” katanya.