Malaysia Dateline

Majlis SU PH sangkal laporan media, badan penyelidik cubaan pengaruhi persepsi pengundi Tjg Piai

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini menyanggah beberapa laporan media dan badan penyelidikan yang kurang tepat dan palsu disebarkan dalam usaha mempengaruhi persepsi pengundi Melayu dan bukan Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan mengatakan, laporan yang kurang tepat dan palsu itu membabitkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan mengenai projek Sistem Transit Rapit Johor Singapura (RTS) yang akan ditangguhkan selama 6 bulan, adalah palsu.

“Hakikatnya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya membuat pengumuman tentang projek RTS secara rasmi pada pukul 3 petang semalam.

“Sebuah akhbar berbahasa Cina pula melaporkan tentang kajian selidik yang mendakwa bahawa Dr. Mahathir Mohamad adalah Menteri Kewangan ‘de facto’ dan kononnya pemimpin Bersatu memegang jawatan dalam kebanyakan GLC, di mana terletaknya kuasa kewangan kerajaan.

“Niatnya adalah untuk memperlihatkan kepada pengundi bukan-Melayu bahawa Menteri Kewangan sebenarnya tidak mempunyai kuasa dan hanyalah boneka;
manakala kerajaan Pakatan Harapan dikuasai oleh Dr Mahathir dan rakan-rakan beliau,” ujar kenyataan itu.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia akan meneruskan pelaksanaan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura dengan penjimatan sebanyak RM1.77 billion, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, kos baharu projek itu adalah RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion yang ditetapkan kerajaan terdahulu.

Kenyataan bersama itu turut menyebut bagi membentuk persepsi negatif di kalangan orang Melayu Dr. Mahathir digambarkan sebagai boneka DAP dan Lim Guan Eng.

“Niat di sebalik semua ini ialah untuk menguncupkan sokongan terhadap Pakatan Harapan di kedua-dua pihak Melayu dan bukan-Melayu, supaya Pakatan Harapan akan berpecah dan hancur.

“Penulisan sedemikian yang dibuat berasaskan unsur-unsur separa benar atau palsu akan semakin menonjol dalam minggu-minggu akan datang, sempenan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

“Maklumat serong yang dikemukakan sebuah badan pemikir kononnya enstrukturan semula GLC adalah bertujuan memperkukuh kekuatan Perdana Menteri dan Bersatu adalah jelas mengelirukan,” ujarnya.

Menurut kenyatana lagi selepas PRU ke-14, proses penstrukturan semula oleh pihak kerajaan melibatkan perubahan agensi merentas kementerian.
Contohnya:

● Adalah benar bahawa Khazanah Nasional, yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Kewangan, kini diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM); namun penulis kajian tersebut telah gagal menyatakan bahawa MOF Inc. masih merupakan pemegang kepentingan terbesar. PNB pula sudah diletakkan di bawah JPM sejak sebelum 2018 lagi.

● Sebaliknya pula, Unit Kerjasama Awam (UKAS) serta agensi-agensi pelaksanaan koridor (NCIA, IRDA, ECERDC, RECODA, PERDA dan SEDIA) yang sebelum ini diletakkan di bawah JPM, kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

● Penubuhan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) adalah bertujuan untuk mengambil alih fungsi-fungsi hal ehwal ekonomi, terutamnya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang ketika pentadbiran BN diletakkan di bawah JPM. Felda yang sebelum ini berada di bawah JPM kini diletakkan di bawah MEA dengan tujuan untuk mengecilkan saiz JPM serta mengasingkan seberapa banyak mungkin fungsi-fungsi ekonomi dan kewangan daripada pejabat Perdana Menteri. Ini termasuklah usaha Pakatan Harapan memastikan Perdana Menteri tidak menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan; supaya semak-imbang dapat dijalankan bagi mengelak kleptokrasi rejim Najib Razak daripada berulang.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution;Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung AMANAH Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke.

Terang kenyataan itu lagi Kerajaan telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) untuk memastikan pentadbiran setiap GLC dan GLIC lebih telus dan bertanggungjawab. Pelan Anti Rasuah Nasional 2019 – 2023 yang menggariskan 22 strategi dan 115 inisiatif juga merangkumi aspek urus tadbir cekap dan berintegriti GLC dan GLIC.

Ini membuktikan pendirian konsisten Pakatan Harapan untuk menjaga integriti dan meningkatkan prestasi GLC.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menyeru supaya orang ramai berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap kerajaan Pakatan Harapan, di saat media diberikan kebebasan dan tidak lagi dibelenggu atau dikongkong oleh kerajaan.

Orang ramai perlu berhati-hati dengan media yang masih dikawal oleh anasir-anasir rejim lama, dan tidak mudah termakan dengan propaganda mereka.