Majlis Tindakan Sara Hidup Negara fokus enam kluster, kata TPM

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara fokus enam kluster, kata TPM

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan memfokuskan kepada enam Jawatankuasa Kumpulan Kerja Kluster Utama antaranya kluster makanan dan perumahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata empat kluster lain ialah pendidikan, pengangkutan, utiliti dan kesihatan.

“Kami mengambil beberapa pendirian proaktif dalam perkara ini kerana kami mendengar dengan teliti permasalahan yang banyak menjadi isu rakyat.

“Kos sara hidup bukan hanya meliputi soal harga barangan, makanan dan minuman sahaja? maka kami mengambil kira aspek-aspek mengikut kluster yang telah diwujudkan ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil 1/2018 di bangunan Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid juga mahu semua mesyuarat kluster dilaporkan kepada jemaah menteri untuk diteliti agar input baharu dapat dilaksanakan dan dipantau.

Mesyuarat yang diurus setia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu dihadiri menteri Kabinet, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian, pegawai tertinggi kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta ahli majlis yang dilantik dalam kalangan para akademik dan badan bukan kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beberapa wakil universiti dan organisasi dilantik untuk memberikan pandangan dalam pelbagai aspek bukan sahaja untuk menangani kos sara hidup tetapi juga terlibat dalam perancangan jangka panjang dasar-dasar kerajaan.

“Saya juga memberikan kuasa kepada Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin, timbalan menteri beliau, ketua setiausaha, jabatan-jabatan di bawah KPDNKK untuk segera mengkoordinasi kewujudan kluster-kluster tersebut supaya kita tidak menangguhkan permasalahn ini di bawah permaidani,” katanya.

Beliau juga yakin beberapa tindakan proaktif seperti Jualan Sentuhan Rakyat dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang dikendalikan KPDNKK bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Ditanya pandangan kerajaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang mengalu-alukan langkah berterusan kerajaan menangani isu-isu rakyat terutama kos sara hidup pada istiadat pembukaan Parlimen semalam, Ahmad Zahid berkata kerajaan menjunjung kasih atas pujian berkenaan dan kerajaan harus menterjemahkannya secara komited melalui pelaksanaan program-program segera.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan berasingan berkata mesyuarat hari ini turut mengambil maklum pencerahan yang diberikan oleh Bank Negara mengenai kedudukan semasa ekonomi negara seperti peningkatan sara hidup yang turut berlaku di seluruh dunia disebabkan faktor seperti peningkatan harga bahan mentah, kenaikan kos pengeluaran, jumlah populasi yang semakin bertambah dan permintaan melebihi penawaran.

Katanya faktor-faktor itu didapati menyumbang kenaikan kos sara hidup di bandar dan luar bandar yang turut melibatkan harga barangan makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti, pendidikan dan kesihatan serta dapat dilihat melalui peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan 3.7 peratus pada 2017 berbanding 2016.

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada 2017 juga merupakan pendorong utama kenaikan IHP dengan peningkatan 4.0 peratus yang disebabkan kenaikan indeks makanan di luar rumah (+4.8 peratus) dan makanan di rumah (+3.7 peratus), serta indeks kopi, teh, koko dan minuman bukan beralkohol turun 0.3 peratus.

“Antara sub kumpulan makanan di rumah yang mengalami kenaikan signifikan dalam tempoh ini ialah minyak dan lemak (+13.3 peratus), ikan dan makanan laut (+6.7 peratus), sayur-sayuran (+4.0 peratus), buah-buahan (+3.4 peratus) dan daging (+3.1 peratus),” katanya.

Ahmad Zahid berkata kumpulan utama lain yang menyumbang kepada kenaikan IHP pada 2017 adalah pengangkutan (+13.2 peratus); kesihatan (+2.5 peratus); restoran dan hotel (+2.5 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.2 peratus) serta hiasan, perkakasan, penyelenggaraan isi rumah (+2.1 peratus).

Inflasi teras yang tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara 2.2 peratus hingga 2.6 peratus pada tahun lepas, katanya.