Majlis Tindakan Sara Hidup rangka pelan tindakan dalam masa dua bulan

Majlis Tindakan Sara Hidup rangka pelan tindakan dalam masa dua bulan

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini akan merangka pelan tindakan yang sewajarnya untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Eksekutif dalam tempoh dua bulan selepas tarikh ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat pada hari ini mengambil maklum mengenai isu pola pendapatan dan perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia yang dibentangkan oleh Jabataan Perangkaan Malaysia.

“Lebih 60 peratus punca pendapatan isi rumah adalah daripada pendapatan bergaji dan perbelanjaan isi rumah B40 dan M40 yang mempunyai tanggungan lebih tertumpu kepada perbelanjaan dan minuman,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Tambah Dr Wan Azizah, bagi tempoh 2016, lebih 50 peratus perbelanjaan adalah tertumpu kepada tiga kumpulan utama iaitu makanan dan minuman, perumahan dan utilliti serta pengangkutan.

Jelasnya, purata perbelanjaan isi rumah di bandar adalah 90.7 peratus daripada purata pendapatan (RM7,671) manakala purata perbelanjaan isi rumah di luar bandar adalah 94.2 peratus daripada pendapatan (RM4,359).

Tambah Timbalan Perdana Menteri pada mesyuarat itu, Kementerian Pengangkutan mencadangkan pelaksanaan pas bulanan tanpa had perjalanan Rapid Rail dan Rapid Bus Bersepadu dan diskaun untuk perkhidmatan KTM Komuter untuk pengguna pengangkutan awam di Lembah Kelang.

“Cadangan berkenaan adalah berdasarkan model di negara maju seperti Jepun, Perancis, United Kingdom dan Singapura di mana pengangkutan awam disubsidi oleh pemerintah. Bagaimanapun pada peringkat ini, cadangan berkenaan tertakluk kepada persetujuan Jemaah Menteri kerana subsidi pengangkutan awam melalui pas bulanan melibatkan kos yang tinggi iaitu RM300 juta setahun,” katanya lagi.

Jelas Dr Wan Azizah, mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara hari ini juga mengesyorkan untuk mengkaji inisiatif bagi mengurangkan penggunaan gula dalam makanan proses siap.

“Inisiatif ini bukan sahaja baik untuk kesihatan pengguna malah dijangka akan dapat menurunkan import bahan mentah gula dalam jangka masa panjang. Namun, kerjasama dari pihak industri adalah penting untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya lagi lapor Bernama.

Tambah beliau, mesyuarat hari ini juga menggalakkan perluasan pelaksanaan konsep Zero Waste Malaysia ke kementerian lain yang pada masa kini dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui Program Food Bank sebagai satu daripada inisiatif peduli rakyat.

Program Food Bank melibatkan penyertaan 12 pasar raya melalui kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan.

COMMENTS

Wordpress (0)