Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah salah satu unit amanah yang dikendalikan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
ASNB pula adalah anak syarikat kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu sebuah GLIC – Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan yang terbesar di Malaysia.
PNB diwujudkan pada tahun 1978 sebagai satu instrumen Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memperbaiki keseimbangan pegangan ekuiti dalam masyarakat Malaysia. Kita tahu bahawa pegangan ekuiti Bumiputera terkebelakang berbanding pegangan asing dan bukan Bumiputera.
ASB adalah unit amanah khusus untuk membantu Bumiputera. Nilai pegangan ASB adalah yang terbesar berbanding unit-unit amanah ASNB yang lain. RM155 bilion daripada RM235.7 bilion dana yang diuruskan oleh ASNB adalah pada unit ASB.
Semalam, Pengerusi PNB Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah mengumumkan kadar dividen dan bonus untuk ASB bagi tahun ini. Ya, 5 peratus adalah kadar yang terendah dalam sejarah.
Saya tidak mahu ulas soal itu. Kerajaan (dibaca PNB) ada alasan dan pengkritik juga ada hujah. Apapun, jika prestasi ini tidak diperbaiki pada tahun-tahun hadapan, imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus merudum.
Dalam Konvensyen AMANAH Nasional dua minggu lalu, saya membangkitkan mengenai sejauh mana keberkesanan ASB dalam membantu Bumiputera khususnya orang Melayu. Adakah matlamat untuk menyeimbangkan ekuiti dalam masyarakat berjaya dilakukan.
Benar, dari satu sudut ekuiti orang Melayu dan Bumiputera meningkat dengan ASB. Tetapi tujuan kewujudan ASB untuk membantu orang Melayu memperbaiki taraf hidup mereka atau sekurang-kurangnya menyediakan simpanan untuk hari tua mereka agak tidak memberangsangkan.
Ini kerana walaupun 9.66 juta kaum Bumiputera menyimpan di ASB, sebahagian besar hanya menyimpan pada nilai yang rendah. Sebanyak 7.4 juta orang atau 76 peratus penyimpan di ASB hanya memegang nilai unit kurang daripada RM5,000 sahaja.
Nilai serendah itu tidak banyak membantu memperbaiki taraf hidup apatah lagi untuk simpanan hari tua. Itu pun membentuk hanya RM4.1 bilion daripada RM155 bilion dana keseluruhan.
Hanya sekitar 9.1 peratus atau 885,000 orang memiliki nilai pegangan melebihi RM50,000. Hanya 0.24 peratus atau 23,000 orang memiliki pegangan melebihi RM500,000. Jumlah ini selesa untuk menikmati hari tua yang tenang.
Bayangkan hanya 23,000 daripada 20 juta rakyat Bumiputera mendapat manfaat yang ‘sepatutnya’ daripada ASB.
Ya, mungkin ramai merasakan duit pencen sudah mencukupi bagi penjawat awam dan pesara kerajaan. Bagi kakitangan swasta, simpanan di KWSP juga mencukupi. Nilai dividen KWSP pun boleh tahan. Tahun lepas pun 5.9 peratus.
Hanya data yang saya sebutkan di atas adalah gambaran bahawa tujuan sebenar ASB sebenarnya belum dihayati sepenuhnya oleh majoriti Bumiputera.
Kadar dividen yang tinggi atau rendah sebenarnya tidak signifikan bagi 76 peratus penyimpan yang memiliki kurang RM5,000. Ia sebenarnya dirasai oleh kelompok 23,000 pemegang tertinggi. Mereka ini semestinya kelompok B40.
Apapun, penting untuk kita terus menggalakkan orang Melayu dan Bumiputera untuk menyimpan pada jumlah yang munasabah.
*Penulis merupakan Naib Pengerusi AMANAH Terengganu merangkap Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.