Malaysia Dateline

Majoriti dalam Dewan Rakyat zamannya sudah berlalu, beri ruang kepada orang baharu

Sebenarnya saya rasa nak tulis tajuk, ‘Sudah Berlalu’ ini dua tiga hari dah tapi tertangguh dek koleksi lawak yang berlaku dalam negara.

Dengan upacara pembersihan Azam Baki oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, kemudian kenyataan beberapa elit politik serta terbaharu kenyataan Majlis Presiden yang sekadar seperti iklan atau pengumuman, hajat menulis tajuk ini tertangguh seketika.

Hari ini baru rasa nak tulis setelah bertemu dan bersembang dengan kawan yang otak agak serupa gila dengan aku. Tajuknya “Sudah Berlalu”.

Tajuk ini berkisar pandangan Mukhriz Mahathir bahawa zaman Anwar sudah berlalu. Saya ada pandangan saya terkait pandangan Mukhriz ini.

Pertama, saya setuju bahawa zaman Anwar sudah berlalu. Sejak dijatuhkan, dimalukan serta ber”kan-kan” lagi pada 1998, Anwar menggembleng segala yang ada untuk melawan dan menjatuhkan Umno/BN.

Digarap seluruh parti pembangkang sama ada secara rasmi atau longgar, parti-parti pembangkang berpadu bersama Anwar. Pas dan DAP yang mustahil dapat bersama telah berjaya disatukan oleh gerakan Anwar.

Keluar masuk penjara dan pelbagai “mehnah dan tribulasi” dilalui Anwar demi menjatuhkan Umno/BN. Sama ada niat atau tujuannya benar untuk rakyat atau demi hajat peribadi menjadi Perdana Menteri, hanya Anwar yang ketahui waktu itu.

Tempoh antara 1998 hingga 2016 bukan masa yang singkat. Berkali-kali pilihan raya umum (PRU) namun Anwar gagal.

Tahun 2018 Tun Mahathir hadir bersama dengan persetujuan hanya sementara hingga waktunya sesuai untuk Anwar tetapi akhirnya semua tahu, Anwar tetap gagal.

Tahun 2020 pula, seolah-olah menjadi tahun Anwar mencapai cita-cita tetapi gagal juga dek helah rakan atau anak murid lama. Berkawan dengan kawan hingga percaya helah musuh, Anwar masih gagal. Akhirnya, MoU mengakui kekalahan.

Anwar sudah berlalu. Rakan-rakan dan sahabat yang bersama Anwar sejak lama, ramai yang meninggalkan Anwar. Yang ada dikeliling Anwar sekarang, kebanyakannya muka baharu yang sedang mencari ruang dan peluang dek kekosongan yang ditinggalkan rakan-rakan lama yang sudah bosan.

Tiada yang baru dengan Anwar. Retoriknya sama. Gayanya sama, rentak yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Gila namanya melakukan perkara yang sama tetapi harapkan hasil berlainan. Masa Anwar sudah berlalu.

Kedua, bukan sahaja Anwar, Mukhriz juga sebenarnya sudah berlalu. Tiada yang baru juga dengan Mukhriz walaupun partinya baru.

Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah semasa Bersatu sama seperti Mukhriz MB Kedah semasa Umno/BN. Tiada banyak bezanya. Banyak lagi perkara kalau nak disebut tentang tiada bezanya Mukhriz dulu dengan Mukhriz sekarang tapi tidak perlu saya sebut satu persatu.

Bukan Mukhriz dan bukan Anwar saja zamannya sudah berlalu. Bagi saya, majoriti yang ada di dalam Dewan Rakyat sebenarnya sudah berlalu.

Selalu dikatakan sewaktu pandemik Covid-19 mengganas bahawa rakyat sudah muak dengan politik. Justeru, pimpinan parti-parti politik mengajak gencatan sementara bagi menghadapi pandemik.

Lantaran itu, termeterailah MoU yang tidak mengikat di antara kerajaan dengan PH.
Sebenarnya rakyat tidak muak atau mual dengan politik kerana rata-rata rakyat masih bercakap perihal politik negara.

Apa yang dimualkan sebenarnya bukan politik tetapi kelaku pimpinan politik yang ada. Ramai dalam kalangan masyarakat bertanya, bila agaknya pemuka politik yang ada akan berhenti? Dah cemuih tengok, kata orang Kedah.

Corak dan perjalanan politik memualkan ini digerakkan oleh pemuka politik sedia ada yang telah memualkan warga.

Sejak PRU-14, politik negara dicorakkan hanya oleh 220 Ahli Dewan Rakyat bukan oleh orang lain. Dalam kalangan 220 inilah yang menjatuhkan kerajaan pimpinan PH yang dimandatkan rakyat. Mereka, dalam kalangan 220 ini juga menaikkan Mahiaddin dan kemudian menjatuhkan Mahiaddin lalu menaikkan Ismail Sabri.

Ini bukan politik yang dimahukan rakyat tetapi politik 220. Ini yang memualkan.

Justeru bagi saya, bukan hanya Anwar zamannya berlalu, zaman majoriti yang ada sudah berlalu zamannya.

Berilah laluan dan ruang kepada yang baru. Ramai yang baharu yang layak yang boleh diketengahkan dan mampu menggalas tanggungjawab jika diberi ruang dan peluang.

Ini pandangan peribadi saya. Hangpa tak setuju, hangpa punya pasai.