Malaysia Dateline

Majoriti tipis isyarat kerajaan perlu bubar Parlimen

Majoriti tipis yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) melalui keputusan undi belah bahagian menggugurkan Speaker Dewan Rakyat, menunjukkan isyarat jelas bahawa kerajaan perlu membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat.

Naib Pengerusi AMANAH Perak, Dr Muhaimin Sulam berkata, langkah tersebut membolehkan rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka sama ada mahukan PN atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Justeru, beliau berkata, AMANAH Perak menyambut baik kenyataan terbuka bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak bahawa sudah tiba masanya untuk mengadakan PRU-15 bagi rakyat membuat pilihan semula.

“AMANAH Perak sifatkan kenyataan desakan PRU-15 segera diadakan adalah kehendak dan kemahuan PN itu sendiri bagi mendapatkan mandat baru bagi memenanginya.

“…Desakan khasnya datang daripada anggota PN dan AMANAH Perak mengalu-alukannya jika PN benar-benar berani dan bersedia,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, usul menggugurkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dipersetujui oleh 111 ahli Parlimen dengan seramai 109 yang menolaknya.

Usul tersebut juga dilihat sebagai kayu ukur menentukan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.