Malaysia Dateline

“Maka nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?”

Mengikut logika dan kewajaran dalam konteks skrip teater terbaru saya “Apa Lagi Yang Bapa Mahu?” (siap ditulis 11 September 2018 dan dipentaskan 15 Disember 2019), seseorang yang sudah berusia 93 tahun misalnya kalau masih menyibukkan diri dengan urusan permainan kuasa memerintah negeri yang sebelum itu sudah dilaluinya selama 22 tahun, dia dikatakan tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya.

Dalam konteks teater itu (Apa Lagi Yang Bapa Mahu = ALYBM), persoalan apakah seseorang itu mensyukuri atau tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya itu dirujuk pemahamannya kepada ayat al-Quran istimewa yang disebut berulang-ulang kali dalam surah Ar-Rahman (dalam bentuk pertanyaan) iaitu Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan – “Maka nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?”

Memang saya terinspirasi oleh suatu peristiwa yang benar-benar terjadi betul dalam kehidupan dan ia kebetulan suatu peristiwa popular yang diketahui oleh hampir semua orang di negara ini, tetapi pemikiran dan kreativiti saya sama sekali tidak terbatas atau dibatasi oleh peristiwa tersebut.

Bahkan juga saya bersikap berani dan merdeka untuk tidak takut kalau-kalau ada pihak yang menghubungkan karya saya ini dengan peristiwa tersebut secara negatif. Saya jelas bahawa saya mengambil peristiwa tersebut untuk menjadi asas bagi saya mencipta sebuah karya kreatif, yang apabila tercipta ia boleh berdiri sendiri/bebas daripada peristiwa sebenar asalnya itu.

Makanya saya sangat teruja apabila kebetulan ada peluang untuk pementasan perdana teater ini dibuat di luar Malaysia, iaitu di Pekanbaru, Riau, Indonesia. Saya teruja kerana berpeluang mementaskannya di luar konteks peristiwa yang menginspirasikannya, sehingga karya tersebut bolehlah dilihat dan dinikmati secara bebas sebagai sebuah karya kreatif yang tanpa ada sebarang hubungan dengan peristiwa yang menginspirasikannya itu.

Barisan tenaga Produksi ALYBM yang kini dalam persiapan untuk pementasan 28-29 Februari ini. Dari kanan: Afiza Asram: pelakon Regina, Yassinsalleh: Pengarah; Kamarul Bahrin: penerbit; Dinsman penulis skrip dan pelakon Bapa.

Namun apakah perkara yang saya harapkan itu benar-benar tercapai? Mungkin. Saya tidak pasti. Secara psikologinya saya berasa tercapai juga, namun ada beberapa perkara sampingan yang saya harapkan tercetus dalam perbincangan rasmi dan tak rasmi para peserta Festival Teater Islam Dunia itu (ALYBM menyertai festival Islamik itulah), yang tidak terjadi/tercapai.

Salah satu yang saya harapkan ialah perbincangan mengenai apakah benar “seseorang yang sudah berusia 93 tahun misalnya kalau masih menyibukkan diri dengan urusan permainan kuasa memerintah negeri (yang sebelum itu sudah dilaluinya selama 22 tahun), dia dikatakan tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya”?

Apakah interpretasi/tafsiran saya terhadap ayat istimewa yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar-Rahman, “Maka nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?” itu adalah benar dan wajar ataupun tidak?

Lebih 30 kali Allah mengulangi ayat pendek yang nampaknya mudah difahami itu. Fabi-aiyi aalaa-i rabbikumaa tukazzibaan. “Maka nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?”

Hanya tiga kata kunci untuk memahami ayat tersebut – “nikmat Tuhanmu”, “mana lagi”, “kamu dustakan”. Memang nampak mudah. Tetapi “nikmat Tuhan” itu terlalu luas maksudnya. Dalam surah al-Fatihah yang kita ulangi menyebutnya sebanyak 17 kali setiap hari dalam solat fardhu itupun terdapat kata “nikmat” itu.

Kita berdo’a kepada Allah agar hidup kita ditunjuki-Nya “jalan yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka” (an‘amta ‘alaihim). Dalam solat yang kita diwajibkan melaksanakannya sebanyak lima kali setiap hari itu, kita diajarkan memohon do’a kepada Allah agar kita dikurniakan satu perkara yang sangat mustahak dalam hidup kiya, iaitulah “nikmat”.

Maka panjang dan terlalu panjanglah kalau hendak kita huraikan maksud “nikmat” itu di sini. Maksudnya terlalu luas. Cukuplah kalau saya katakan bahawa apa saja yang baik bagi kita dan tidak bertentangan dengan syari’at – itu adalah nikmat.

Dan Allah bertanya berulang kali dalam surah Ar-Rahman itu: “Nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?” Dan dalam teater ALYBM watak Regina, anak perempuan yang berpendapat bapanya tidak wajar lagi aktif berpolitik dan bermain kuasa ketika usia sudah 93 tahun itu pun bertanya berulangkali, kepada dirinya dan kepada bapanya: “Nikmat Tuhanmu mana lagi yang kamu dustakan?”

Sang Bapa dalam ALYBM itu menjelaskan bahawa dia masih terus aktif berpolitik dan mengatur kuasa di usia 93 itu adalah sebagai mensyukuri nikmat yang Allah telah kurniakan kepadanya. Manakala Regina pula percaya bahawa tindakan bapanya itu adalah tanda yang bapanya tidak mensyukuri, atau mengikut istilah aurah Ar-Rahman itu “mendustakan” nikmat Allah.

Dalam pementasan di Pekanbaru, teater ini mungkin gagal mengangkat persoalan mensyukuri atau mendustakan nikmat Allah itu di kalangan khalayaknya. Sekarang ALYBM sedang dirancang untuk dipentaskan pula beberapa kali lagi di beberapa tempat di Semenanjung, bermula pada 28 dan 29 Februari ini di Kuala Lumpur.

Akibat daripada kepercayaannya itu Regina dengan penuh rasa kasih kepada bapanya meminta agar bapanya meninggalkan atau menghentikan apa-apa yang sedang dilakukannya, iaitu aktif berpolitik dan memegang jawatan perdana menteri di sebuah negeri.

Secara mudahnya persoalan teater ini ialah – apakah Islam membenarkan atau tidak (atau tidak menggalakkan) seseorang yang mencapai umur 93 tahun, atau 90 tahun, untuk terus aktif berpolitik dan memegang jawatan pimpinan utama dalam pentadbiran sebuah kerajaan (yang sebelum itupun dia pernah diberi amanah tersebut selama 22 tahun)?

Atau dengan pendekatan lain, persoalannya – apakah seseorang yang masih terus aktif berpolitik dan memegang jawatan pimpinan utama dalam pentadbiran sebuah kerajaan (yang sebelum itupun dia pernah diberi amanah tersebut selama 22 tahun) itu dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah ataupun mendustai nikmat Allah?

Kedua-dua watak yang terlibat masing-masing berhujah dengan penuh yakin bahawa masing-masing berada di pihak yang benar. Pengarang tidak memberikan hujah yang muktamad menyebelahi pihak anak ataupun pihak bapa. Terpulanglah kepada khalayak/penonton untuk membuat atau mencari kewajaran masing-masing pula.