Makan dedak itu perlahan-lahan, takut tersedak, sindir Chegubard

Makan dedak itu perlahan-lahan, takut tersedak, sindir Chegubard

Dedak iaitu hasil sampingan mengilang padi yang menjadi makanan haiwan ternakan digunakan sebagai simbol oleh Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin untuk menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sindiran Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai Chegubard itu ekoran kenyataan berbolak-balik Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berhubung isu penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan di kawasan Paya Indah Wetland, Mukim Tanjung Dua Belas di Kuala Langat.

“Ketika kamu (Azmin) makan dedak, jangan kata orang lain makan dedak. Mendedak itu perlahan-lahan, takut tersedak,” bidasnya dalam sidang media di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu di ibu negara.

Empat Menteri Besar Selangor sebelum ini, ujarnya, dianggap tidak berani untuk menukar status tanah seluas 619 hektar (1,529 ekar) itu bagi tujuan pembangunan memandangkan lokasinya dalam zon hijau Paya Indah Wetland.

Walau bagaimanapun, Chegubard berkata, selepas 22 tahun cubaan untuk memajukan tanah yang diberi milik oleh kerajaan Umno-BN kepada tauke Cina melalui syarikat Salak Land Development Sdn Bhd pada 1994, secara mengejut konglomerat Gamuda Land mengumumkan membeli tanah tersebut melalui pembelian syarikat Salak Park Development dengan nilai RM784.3 juta.

“Lobi korporat di belakang pertukaran status Lot 68054? Siapa proksi dan berapa nilai bertukar tangan?” tegasnya sambil memetik persoalan dibangkitkan Investor Central berpusat di Singapura.

Badan itu mempertikaikan kemungkinan yang berlaku jika Gamuda tidak mendapat kebenaran untuk menukar status tanah pertanian kepada pembangunan bercampur.

Mengulas lanjut, Chegubard yang juga bekas Ketua PKR Rembau itu berkata, banyak pihak melihat kelulusan pertukaran nama Geran Lot 68504 kepada Gamuda Berhad oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor pada 9 April lalu sebagai ‘segera’.

“Kita di peringkat akhir dengan pasukan penyiasat terdiri daripada pelbagai latar belakang yang dibentuk sejak Mac lalu meneliti semua dokumen berkaitan untuk mencari proksi dan transaksi berkaitan,” tambahnya lagi sambil menyifatkan isu tersebut memasuki fasa yang sangat serius pada masa ini.

TAGS