Malaysia Dateline

‘Makan diri’ turun had umur hanya penuhi manifesto

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berpendapat tindakan Pakatan Harapan (PH) menurunkan had umur pengundian kepada 18 tahun sebagai perangkap kepada kerajaan jika hanya untuk memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14).

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Rara, terdapat beberapa manifesto lain yang masih belum ditunaikan terutama yang melibatkan hak anak muda yang lebih penting.

“Sekadar turunkan had umur pengundi ke 18 tahun untuk memenuhi manifesto, sebenarnya memerangkap PH kerana masih banyak lagi janji yang belum ditunaikan yang melibatkan anak muda.

“Isu paling utama ialah PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Selain itu, isu peluang pekerjaan, dan kadar gaji minima.

“Kalau kerajaan tak tunaikan apa anak muda mahukan, ini akan memakan mereka sendiri pada PRU akan datang.

“Selesaikan dahulu janji PRU. Anak muda akan menilai dan lihat sama ada PH atau parti lain yang lebih menguntungkan mereka,” tegasnya.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa usul kerajaan menurunkan had umur sebagai mengiktiraf kebolehan anak muda membuat keputusan dan bukan semata-mata mengikut trend.

“Kalau nak diikutkan, Malaysia sudah jauh ketinggalan dengan negara-negara lain yang telah mulakan usaha ini sejak 1980-an lagi.

“Ini adalah hak mereka untuk melahirkan apa yang mereka rasa, hak bersuara, memilih,” ujar Adun DAP itu.

Rara berkata demikian dalam Forum Make a Change, Let’s Do it Together dengan topik Berubah Lapan Belas: Antara Trend, Kematangan dan Tanggungjawab, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu ialah Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dan Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah.

Sementara itu, mengulas persoalan sama ada jika pengundi boleh disaman kerana tidak mengundi, Rara berkata, ia merupakan hak pengundi untuk mengundi atau tidak.

Namun katanya, ia menjadi usaha kerajaan untuk mencari inisiatif menggalakkan rakyat Malaysia dalam memastikan mereka keluar mengundi.

“Bagi saya, rakyat Malaysia ada hak untuk keluar mengundi dan tidak mengundi. Tapi tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk memastikan mereka keluar mengundi dengan menjelaskan tanggungjawab, hak mereka, dan apa yang mereka dapat dari keluar mengundi,” tambahnya lagi.

Forum disertai Rara anjuran SPR.