Makan guna pampers dikecam netizen

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan pihak penganjur majlis ‘baby shower’ atau meraikan ibu yang mengandung anak sulung dengan menjadikan lampin pakai buang atau pampers sebagai pengganti pinggan.

Beberapa foto yang tersebar di Facebook menunjukkan sekumpulan individu di majlis tersebut meletakkan makanan di dalam pampers. Dipercayai penganjur dan tetamu majlis terdiri daripada orang Melayu Islam berdasarkan gambar yang mulanya dimuat naik di Instagram dengan ada antaranya adalah wanita hamil bertudung.

Bagi pengguna Facebook, Shahril Izwan, adab ketika menyantuni makanan perlu diutamakan kerana terdapat keberkatan pada makanan yang perlu dihormati walaupun tiada roh ke atasnya.

“Islam itu indah dan mengajar kita dari segala segi, perinciannya mencakupi keseluruhan kehidupan. Adakah anda tahu cara menyantuni roti itu adalah dengan mengoyakkannya bila dimakan? Fikir-fikirkanlah. Ilmu Allah itu Maha Luas,” ujarnya lagi.

Mohd Zawari pula menulis, “Tak perlu heret tin pakai compang-camping baru dipanggil gila, makan dalam pampers pun salah satu jenis gila” manakala Lea Noe menganggap, “Membazir. Baik bagi anak guna. Dahlah pampers sekarang mahal.”

Sementara itu, Muhammad Rozaini berpendapat, “Semakin tinggi teknologi canggih, semakin banyak kebodohan manusia yang tak boleh berfikir dengan waras.”

Menyifatkan penggunaan pampers sebagai pengganti pinggan juga tidak praktikal, Farah Susila berkata, “Tahu tak kalau pampers tu penuh dengan air, apa yang akan keluar? Kalau ya pun nak buat ‘No Plat Today’, makanan tu letak dalam daun pisang. Pampers tu bagi anak saya pakai.”

“Melayu kalau lupa diri bila tiru budaya orang putih mengalahkan orang putih. Sanggup makan dalam lampin pakai buang. Walaupun (pampers) masih belum diguna tapi Nampak benar otak mereka ni dah kena buang,” bidas pengguna Facebook, Jamali Razak.

Terdapat juga pengguna media sosial yang menyarankan supaya mereka yang berhasrat mahu mengadakan majlis ‘baby shower’ yang berasal dari trend masyarakat Barat itu menggantikannya dengan majlis kesyukuran.

Walaupun pemilik akaun Instagram yang mulanya memuat naik gambar majlis itu bertindak memadam gambar tersebut tetapi sempat disimpan netizen lain sebelum menjadi viral di media sosial.

Di Malaysia, majlis ‘baby shower’ dilihat banyak dilakukan golongan artis dan dikatakan Erra Fazira antara terawal melakukan budaya yang berasal dari Barat ini iaitu pada 2009 diikuti artis lain seperti Dynas Mokhtar, Sazzy Falak, Rozita Che Wan, Lisa Surihani, Fasha Sandha, Fouziah Gous dan Erin Malek .

TAGS