Makan nasi tanpa lauk, peniaga akui harga bahan makanan makin mahal

Makan nasi tanpa lauk, peniaga akui harga bahan makanan makin mahal

Peniaga nasi campur di ibu negara mendedahkan terdapat pelanggan hanya meminta sepinggan nasi bersama kuah sahaja sekali gus menggambarkan realiti ramai rakyat di negara ini tidak mempunyai wang mencukupi.

Rojmi Abdul Rahman yang sudah berniaga 20 tahun di Desa Sri Hartamas, Segambut mendedahkan hal tersebut ketika ditemui pemberita Astro Awani.

“Kasihan pelanggan sekarang. Ramai pelanggan tiada duit. Makan pun kuah saja, air pun tidak ada,” katanya.

Beliau turut mengakui kadar kenaikan kos barangan mentah juga membebankan golongan peniaga makanan sepertinya untuk meletakkan harga tanpa membebankan pelanggan.

Walau bagaimanapun, Rojmi berusaha untuk mengekalkan harga jualan makanannya walaupun terpaksa menanggung harga bahan yang semakin melambung.

Pemberita saluran berita Astro itu kemudiannya memberitahu ada peniaga memaklumkan perbelanjaan harian untuk menyediakan bahan makanan meningkat sehingga RM2,500 berbanding sekitar RM1,500 sehingga RM2,000 beberapa tahun lalu.

“Jadi, ini menyukarkan dia (peniaga) mendapatkan margin keuntungan. Pelanggan datang hanya meminta sepinggan nasi dan mengambil kuah saja,” kata wartawan penyiaran berkenaan.

Sementara itu, beberapa orang awam sekitar Segambut yang ditemui juga memberi reaksi sama yang terbeban dengan harga barangan yang semakin mahal.

Terdapat seorang pekerja swasta memberitahu dirinya tidak mempunyai simpanan bulanan memandangkan pendapatan yang diperoleh hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan sepanjang tempoh sebulan.

“Duit ada tetapi untuk simpan tidak ada,” akuinya.

Seorang pengasuh pula hanya bergantung pada pendapatan RM350 sebulan dan mengakui jumlah itu jauh tidak mencukupi tetapi masih boleh meneruskan hidup kerana tinggal serumah dengan ibunya.

Bagi seorang peniaga kecil lain berkata, simpanan bulanannya tidak menentu lantaran bergantung pada pasang surut hasil menjual makanan yang diusahakannya.

Laporan Astro Awani juga mendedahkan kenaikan kos sara hidup turut menghimpit kelompok kelas pertengahan.

Ada antara golongan berduit sekitar Segambut yang ditemui memberitahu terpaksa mengurangkan kegemaran meminum kopi Starbucks daripada tiga kali seminggu kepada hanya sekali dalam tempoh dia minggu.

Astro Awani lapor indeks harga pengguna terus meningkat setiap tahun ketika kemampuan rakyat (garis merah) berbelanja sebaliknya.

7.3
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 6.3