Malaysia Dateline

Makan sawit bakar sampai mulut berminyak, kenangan di Felda ‘tumpah’ dalam diorama

Makan sawit bakar sampai mulut berminyak menjadi antara kenangan mengusik jiwa bagi anak Felda. Suasana rumah lama Felda lengkap dapur kayu di luar kediaman kini ‘tumpah’ dalam diorama yang tampak hidup.

Mohd Rafae menerusi kumpulan Facebook, Nostalgia Klasik Menggamit Memori menghidupkan kembali suasana rumah kayu Felda dalam model tiga dimensi (3D) yang dihasilkannya.

Jelasnya, situasi sebenar pemandangan itu ketika beliau kerap bertandang di rumah ayah saudaranya pada awal 1980-an di Tanah Rancangan Felda di Pasoh 3, Simpang Pertang, Negeri Sembilan.

Ikuti perkongsian kenangan Mohd Rafae yang meraih banyak perhatian orang ramai khususnya generasi anak Felda:

Kenangan di awal tahun 80-an di mana arwah pakcik saya (adik ayah) menetap di tanah rancangan Felda.

Zaman itu ayah sering membawa kami satu keluarga menziarahi arwah. Ayah begitu rapat dengan arwah. Suasana yang tenang yang mendamaikan itu buat saya suka ke sana.

Bermain dengan sepupu, berbasikal pusing satu Pasoh 3, melastik burung dalam kebun sawit, memancing di anak sungai, panggang buah sawit.

Setiap kali pulang ke rumah saya, saya mesti bawa beberapa biji buah kelapa sawit sekitar 20 hingga 30 biji untuk saya panggang. Memang kenangan itu sampai ke hari ini masih saya ingat.

Kini, zaman telah berubah. Anak-anak arwah telah membesar dan semua sudah berkahwin. Rumah asalnya kayu sekarang semuanya bertukar menjadi rumah yang sangat selesa.

Pergorbanan seorang ayah untuk anak cucunya tiada gantinya. Semua tinggal kenangan tiada lagi rumah kayu yang banyak meninggalkan kesan didalam jiwa saya.

Al-Fatihah untuk arwah pakcik serta mereka yang telah meninggalkan kita di tanah rancangan Felda Pasoh 3.

Saya sertakan karya terbaharu dari kenangan saya di sebuah rumah di Tanah Rancangan Felda di Pasoh 3 Negeri Sembilan. Diorama ini dari apa yang saya lihat di mata saya sendiri ketika itu.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/penarikan-dakwaan-rasuah-masihkah-ada-harapan-untuk-felda-bebas-rasuah/

Baca juga: https://themalaysialife.com/risau-gastrik-menyerang-ketika-ramadan-ini-antara-menu-yang-anda-boleh-ambil-ketika-puasa/