Malaysia Dateline

Makan sayur pun rasa kayangan sungguh, harga barang naik menggila

Balik kampung sempat sembang dengan mak abah pasal harga barang. Maklumlah, mak abah saya seorang peniaga kedai makan.

Tak ada nak cakap melainkan keluhan dengan harga barang yang sangat menggila naik sekarang ini. Macam dah tak boleh buat apa oleh pihak kerajaan, semua tidak boleh dikawal.

Abah saya berniaga roti canai. Semua bahan nak buat roti canai naik menggila. Dulu marjerin pelangi RM4.90, sekarang RM7. Susu krimer pekat boleh dapat RM2.10, sekarang RM2.70. Harga minyak seperti kita tahu, naik mendadak.

Sekarang ni tepung gandum pun makin payah nak dapat. Tak tahulah berapa lama lagi stok yang ada boleh bertahan. Yang ada pun mungkin tepung yang harganya lebih mahal. Itu pun tak boleh jangka sampai bila boleh ada stok.

Tapi abah kasihankan pelanggan, masih jual RM1 sekeping roti canai. Harga tak masuk akal! Mana nak dapat harga roti canai macam tu sekarang?

Sembang dengan mak, mak saya setiap hari masak lauk-pauk lebih 20 jenis. Mak kata semua rempah naik harga. Tak ada satu rempah pun kekal harga macam dulu. Sayur pun naik menggila! Makan sayur rasa kayangan sungguh.

Harga sawi dulu boleh dapat RM1 sekilo, sekarang RM8 sekilo! Timun dulu boleh dapat RM1.50, sekarang paling murah RM7 dan ada hari naik sampai RM15 sekilo.

Kacang panjang pun naik harga sampai RM14 sekilo. Rasa macam anak Tan Sri bila makan kacang panjang sekarang ini.

Belum kira soal ayam, memang sangat susah nak dapat. Harga ikan juga dah tak macam dulu. Sekarang ini nak berniaga memang jenuh nak dapat harga murah.

Ikan perut pecah pun mahal. Bayangkan peniaga pun payah nak dapat harga murah, macam manalah rakyat biasa.

Peniaga kecil tertekan dengan kenaikan harga mendadak bahan mentah.

Pagi tadi pergi pasar borong pun harga ayam sangat mahal. Dua tiga kali ganda berbanding dulu. Dulu bolehlah banyakkan jenis lauk berasaskan ayam. Sekarang ini jadi dilema, semua benda mahal!

Tapi mak tetap usaha nak jual murah. Ayam RM3.50 seketul, ikan pun ada harga macam tu. Mana nak dapat harga macam tu dah sekarang.

Semua sebab kasihan pada pelanggan. Tapi sekarang, saya nasihatkan mak, nak tak nak terpaksa naik harga, jangan sampai susah nak untung, biarlah rasa berbaloi bangun 2.30 pagi tiap hari.

Demikianlah realiti ketika ini, seperti terkontang-kanting melalui cabaran harga barangan yang menggila.

Tiada lagi harapan boleh boleh diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab. Tunggulah dua tiga bulan lagi, pasti semakin derita kita menghadapi situasi ini!

Baca Apa ‘modal’ isu semasa sembang raya? Ini 7 fakta boleh dikongsi bersama sanak saudara, rakan taulan

Baca Lewat hantar barang, J&T Express mohon maaf