Malaysia Dateline

‘Makhluk perosak hanya cari kesalahan untuk provokasi golongan bodoh, lemah akal’

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggelar golongan pengacau petugas baris hadapan sebagai makhluk perosak yang memainkan peranan menerusi media sosial.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata, pasukan barisan hadapan ialah golongan yang paling banyak mengorbankan diri, tenaga, masa dan meninggalkan keluarga, serta paling terdedah kepada bahaya.

“Namun, mereka yang bertindak menjadi makhluk perosak, hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.

“Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau,” dipetik dari artikel panjang Minda Presiden hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu menegaskan golongan pengacau terbabit yang boleh melemahkan semangat barisan hadapan perlu dikenakan tindakan yang tegas.

“Perlindungan melalui undang-undang yang tegas terhadap pengacau tugas barisan hadapan pada masa darurat ini hendaklah digubal.

“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” tambahnya lagi.