Makin ramai anak muda pilih tinggal di hotel kerana rumah sewa makin mahal

Oleh KIM SYAZIE

Semakin ramai anak muda memilih tinggal di hotel kerana ia lebih menjimatkan kos berbanding daripada menyewa atau membeli rumah.

Selain alasan itu, hotel menjadi pilihan anak muda kerana tidak perlu berurusan dengan pemilik, menandatangani kontrak dan membayar utiliti atau melakukan apa-apa jenis pembersihan.

Mereka juga tidak perlu membayar deposit dan yuran utiliti jika tinggal di hotel.

“Bagi seseorang yang mempunyai kebimbangan sosial seperti saya, berurusan dengan pemilik rumah adalah bahagian yang paling teruk dan mimpi ngeri.

“Ia lebih menjimatkan kos tanpa deposit, tiada yuran agensi dan utiliti disertakan.

“Saya tidak perlu membersihkan, penghawa dingin yang berfungsi 24 jam dan di luar terdapat kedai, restoran dan stesen kereta api bawah tanah,” kata seorang pemuda di Beijing, Hu Weiwei memetik AFP.

Lelaki itu berkata, selepas membuat kira-kira dia mendapati pangsapuri kongsi di Tianjin akan menelan kos kira-kira 1,000 yuan (kira-kira RM606) sebulan.

Manakala, ruang untuk dirinya sendiri adalah 2,000 (kira-kira RM1,211) hingga 3,000 yuan (kira-kira RM1,817).

Harga penginapan jangka panjang dengan sebuah hotel pula hanya sebanyak 2,500 yuan (kira-kira RM1,514) sebulan.

Hu sudah lama tinggal di hotel di Shanghai dan Suzhou, dan kini tinggal berhampiran kampung halamannya di timur laut wilayah Jilin.

Dia tidak melihat dirinya akan keluar daripada hotel dalam masa terdekat. Sementara itu, penuntut universiti, Tang Miaomiao, 22, menghargai layanan kakitangan hotel dan faedah penginapan jangka pendek.

“Kamu perlu membayar sewa sebulan penuh sebagai yuran agensi. Ia tidak berbaloi untuk penginapan singkat.

“Kakitangan hotel membuat ladu khas untuk kami pada Malam Tahun Baru, dan pasukan sarapan ingat bahawa saya suka mi,” katanya.

Baca juga: Tak sangka 4 artis Malaysia ini pernah jadi 100 wajah paling cantik dunia