Malaysia Dateline

Maklumat dalam petisyen tamat darurat selamat, jangan takut

Orang ramai diseru untuk tidak takut menandatangani petisyen untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar darurat dapat ditamatkan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Darurat, Khalid Abd Samad berkata, segala maklumat individu yang turut serta menandatangani petisyen di laman sesawang tamatdarurat.com, sama sekali tidak akan didedahkan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH memberi jaminan bahawa maklumat seperti nama dan nombor kad pengenalan setiap individu akan dirahsiakan dan hanya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya difahamkan, ada rakyat takut nak tandatangan kerana kita minta nombor kad pengenalan dan nombor telefon. Nama dan IC itu wajib sebab kita nak nyatakan bahawa individu yang tandatangan petisyen ini adalah rakyat Malaysia yang sah. Kalau tak, nanti orang pertikai

“Jangan khuatir kerana apa kita buat tak salah dan kerajaan tak boleh guna akta berita tak benar terhadap mereka yang tandatangan ini kerana mereka sekadar menyatakan tidak setuju

“Nama dan IC yang dikumpulkan tak akan didedahkan kepada sesiapa sekalipun kecuali Agong,” katanya dalam siaran langsung di Facebook Jom Channel semalam.

Sementara itu, Khalid juga memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tun Arifin Zakaria yang berkata, semua individu mempunyai hak untuk menghantar petisyen atau memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ariffin berkata, pihaknya tiada masalah untuk mendengar pandangan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat namun harus membincangkan dulu perkara yang dibangkitkan.

Menurutnya juga, ini adalah negara bebas di mana semua orang bebas bersuara dan menyatakannya kepada Agong.

Setakat pagi ini, laman tamatdarurat.com telah mengumpul hampir 15,000 tandatangan rakyat Malaysia yang menyokong penamatan darurat dilakukan segera.