Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik mempertahankan pendekatan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan binatang sebagai perumpamaan dalam siri artikelnya.
Mokhtar bahkan secara menyindir menganggap pihak yang mempersoalkan hal tersebut sebagai hanya membaca surah Yassin sahaja.
“Lalu apa peliknya jika TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) mengunakan kalimat binatang sebagai perumpamaan?
“Orang yang berasa pelik kerana mereka tidak bertemu ayat-ayat begitu dalam al-Quran.
“Maklumlah kerana baca al-Quran pun setakat surah Yassin sahaja. Namun, mulut gatal nak buat ulasan,” sinisnya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang umum dikenali kerap menggunakan pelbagai jenis nama binatang sebagai perlambangan terutama ketika menyerang musuh politiknya.
Antaranya, membandingkan golongan pengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tupai dan kera.
Kata Hadi, tupai dan kera memilih buah-buahan yang baik tetapi ada manusia yang mencari buah-buahan yang buruk untuk dijual.
Mengulas lanjut, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu mempersoalkan mengapa perlu ada yang terasa sambil turut menggunakan binatang sebagai perumpamaan dilihat meniru Presiden partinya.
“Pastu yang mereka terasa sangat tu kenapa? Mungkin kerana ada bulu angsa atas kepala kut?” perli pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.
Jelasnya, orang yang selalu membaca al-Quran tidak akan berasa hairan jika banyak ayat Allah menyebut pelbagai jenis binatang sebagai perumpamaan.
“Dalam pengajian Balaghah kalimat perumpamaan (At-Tasybih) memainkan peranan yang penting untuk mencapai kefahaman yang lebih jelas.
“Di dalam Al-Quran perkataan babi (khinzir) disebut sebanyak lima kali, anjing (kalbun) sebanyak lima kali, lembu (baqoroh) empat kali, keldai (himar) dua kali, unta (al-ibil) dua kali dan kera (qirdah) sebanyak tiga kali.
“Manakala serangga pula disebut di beberapa tempat. Labah-labah (al-ankabut) dua kali, nyamuk (ba’udhoh) dua kali, semut (namlah) sekali dan lebah (an-nahl) sekali,” kata Mokhtar lagi.