Makna di sebalik lambang Pakatan Harapan di PRK Balakong

Makna di sebalik lambang Pakatan Harapan di PRK Balakong

Dalam masa 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, gabungan parti itu telah menghadapi dan memenangi satu pilihan raya kecil iaitu di Sungai Kandis, dan menghadapi dua lagi di Balakong dan Seri Setia.

Di Sungai Kandis itulah, buat pertama kalinya Pakatan Harapan bertanding sebagai pertubuhan berdaftar rasmi.
Tetapi di Balakong inilah pula buat pertama kalinya lambang rasmi berdaftar Pakatan Harapan akan digunakan. Iaitu berbentuk seperti anak panah atau chevron.

Tidak ada makna rasmi untuk lambang Pakatan Harapan walaupun ada kalangan netizen menyamakannya dengan logo Star Trek, siri fiksyen sains televisyen yang terkenal.

Logo bersama

Lambang itu telah diperkenalkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2017 untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Tetapi kerajaan Barisan Nasional menolak pendaftaran Pakatan Harapan dan lambangnya, memaksa parti-partinya menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Semenanjung Malaysia bagi membolehkan mereka bertanding di bawah satu identiti.

Wajar diperingati selalu bahawa menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 bukan saja Pakatan Harapan dan lambangnya tidak dapat didaftarkan tetapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga digantung pendaftarannya.

Bagi para pemerhati politik, menghalang pendaftaran ini adalah antara usaha untuk menyukarkan sebarang peluang untuk Pakatan Harapan menang sungguhpun ketika itu Barisan Nasional yakin akan kekal memerintah.

Walaupun akhirnya Pakatan Harapan memenangi juga pilihan raya itu tetapi ia tidak dapat menampilkan lambang milik bersama yang boleh turut menyumbang kepada perpaduan antara parti anggota.

Cabaran awal selepas menang

Malah usaha Barisan Nasional untuk menghalang kemenangan lawannya selepas keputusan pilihan raya itu ialah dengan mengemukakan hujah yang berkaitan dengan bilangan kerusi.

Selepas keputusan itu, Barisan Nasional pada awalnya enggan menerima keenangan Pakatan Harapan kerana mereka menganggap gabungan itu tidak wujud.

Bagi mereka ketika itu Barisan Nasional meraih kerusi paling banyak berbanding dengan parti lain walaupun tidak memperoleh majoriti mudah. Ini berlaku walaupun jelas gabungan parti-parti Pakatan Harapan memenangi kerusi paling banyak.

Tanpa pendaftaran rasmi Pakatan Harapan, gabungan ini menjadi rapuh. Pada detik-detik genting penubuhan kerajaan baharu, parti komponen boleh saja berpecah dan rakyat yang mengundi Pakatan Harapan tidak dapat berbuat apa-apa.

Hampir gagal

Catatan aktivis pendukung Pakatan Harapan, Hishamuddin Rais mengenai detik-detik genting itu menampakkan bahawa gabungan itu hampir gagal menubuhkan kerajaan walaupun ia memperoleh kerusi paling banyak.

Bayangkan kalau Barisan Nasional bergabung dengan PKR dan Pas, maka kerajaan Pakatan Harapan tidak akan dapat ditubuhkan.

Jika itu berlaku, ia merupakan pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan oleh rakyat.

Tetapi ternyata pada saat-saat genting itu, semua parti anggota Pakatan Harapan setia dengan persetujuan bersama dan ini menghalang sebarang usaha Barisan Nasional untuk kekal berkuasa.

Maka, pengukuhan Pakatan Harapan adalah penting supaya kerajaan yang ditubuhkan bukan saja dapat bertahan hingga akhir penggal, tetapi juga mampu melaksanakan agenda yang dijanjikan pada rakyat dalam usaha untuk membina seula negara.

Wajar sentiasa waspada

Ancaman perpecahan Pakatan Harapan ini sentiasa ada dan para pendukungnya wajar berwaspada.

Seperti mana sebelum ini Pakatan Rakyat boleh dipecahkan, maka perkara yang sama turut boleh berlaku.

Sepanjang 100 hari menjadi kerajaan, ada saja kenyataan-kenyataan bersifat provokatif yang boleh meretakkan hubungan antara anggota Pakatan Harapan.

Kalau pada Pakatan Rakyat, hubungan rapuh itu adalah antara Pas dan DAP, maka dalam Pakatan Harapan, kegentingan boleh berlaku antara PKR dan Bersatu.

Bibit-bibit ini menjadi ketara apabila berlaku persaingan dalam pemilihan kepimpinan PKR. Kata-kata lepas dari para calon yang bertanding dalam pemilihan itu tidak menyumbang kepada perpaduan Pakatan Harapan.

Peluang terbaik

Adalah suatu perkembangan baik apabila pilihan raya kecil ini menampilkan lambang baharu Pakatan Harapan.

Pengundi masih tidak mengenali lambang ini tetapi ia merupakan peluang terbaik untuk menegaskan perpaduan Pakatan Harapan.

Banyak pengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu tidak menyokong mana-mana parti di dalamnya, sama ada Bersatu, PKR, DAP atau Amanah. Tetapi mereka menyokong Pakatan Harapan secara menyeluruh.

Maka ahli-ahli politik gabungan itu hendaklah menampilkan semangat Pakatan Harapan kepada rakyat, dan bukannya parti-parti mereka.

Walaupun setiap parti mempunyai hasrat untuk menjadi dominan, tetapi buat masa ini apa yang rakyat kehendaki ialah keseluruhan daripada gabungan itu.

Faham politik berbeda

Sememangnya setiap parti Pakatan Harapan, iaitu Bersatu, PKR, DAP dan Amanah mempunyai fahaman politik dan latar belakang yang berbeza dan ada butiran terperincinya bertentangan di antara satu sama lain. Tetapi tidak semua penyokong Pakatan Harapan menyokong fahaman politik salah satu daripadanya.

Banyak pendukung Pakatan Harapan memegang faham politik yang menyeluruh, melangkaui apa yang selama ini dipegang oleh setiap parti itu.

Pada asasnya pendukung Pakatan Harapan itu mahukan negara yang bersih, cekap dan amanah.

Nilai ini adalah umum melangkaui pemikiran politik lama yang menjadi asas-asas fahaman keempat-empat parti itu.

Kepimpinan Mahathir

Di atas itu pula, para pendukung Pakatan Harapan menerima kepimpinan Dr Mahathir walaupun tidaklah bersetuju dengan kesemua pendirian dan pendapat beliau. Tetapi terhadap kepimpinan beliau, ia adalah suatu kebulatan suara.

Kedudukan parti-parti Pakatan Harapan boleh dilihat daripada sudut cogan kata negara iaitu Bersekutu Bertambah Mutu.

Dalam cogan kata itu, ia menekankan bahawa persekutuan negeri-negeri dalam Malaysia khususnya antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah meningkatkan mutu negara bersama.

Maka begitu juga dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan. Persepakatan parti-parti ini meningkatkan mutu politik mereka. Jika mereka tidak berpakat, pasti bukan saja kekuasaan terlepas tetapi apa yang hendak dicapai oleh fahaman politik masing-masing tidak akan tercapai.

Sentimen tidak puas hati

Kalau setiap parti khususnya ketika berlangsung pemilihan akan menyuarakan sentimen-sentimen tidak puas hati terhadap persepakatan, maka ia hanya menyemai perpecahan sesama anggota komponen.

Bayangkan kalau semua anggota komponen lakukan gelagat yang serupa, bukan saja PKR, tetapi juga Bersatu, DAP dan Amanah, pastinya ia memberi gambaran serong terhadap penyokong Pakatan Harapan yang tidak berkaitan dengan mana-mana parti.

Tetapi pilihan raya kecil menuntut perpaduan kesemua parti Pakatan Harapan. Sungai Kandis dan Seri Setia bukan medan bagi PKR semata-mata. Balakong juga bukan medan DAP saja. Ketiga-tiga itu adalah medan bagi Pakatan Harapan.

Kalau persaingan dalam pemilihan parti boleh menyemai retak pakatan, pilihan raya kecil pula adalah medan bagi perpaduan Pakatan Harapan.

Bagi setiap penyokong lama parti anggota Pakatan Harapan, tentulah masing-masing mempunyai idealisme mereka.

Sejarah perjuangan berbeza

Bersatu dengan nasionalisme Melayu yang lahir bagi menentang kleptokrasi Umno, PKR pula membawa agenda Reformasi yang muncul bagi menentang korupsi Umno, DAP pula dengan demokrasi sosial yang lahir untuk menentang rasisme Umno dan Amanah memperjuangkan Islam progresif yang lahir daripada usaha untuk menyatukan gerakan menentang Umnl. Mereka mempunyai sejarah berbeza.

Tetapi sejarah politik terus bergerak meninggalkan detik detik peristiwa lalu, walau sehebat mana pun zaman berkenaan.

Bagi pendukung Pakatan Harapan pula, mereka lihat ia merupakan gerakan bagi membawa perubahan kepada negara.

Mereka lihat Pakatan Harapan memikul tanggungjawab untuk membawa negara keluar daripada kebobrokan pemerintahan Barisan Nasional.

Jadi apa yang dituntut oleh penyokong Pakatan Harapan adalah suatu Malaysia Baharu.

Apapun isinya, ia adalah berbeza daripada apa yang diamalkan oleh Barisan Nasional. Maknanya, asas fahaan politik pendukung Pakatan Harapan tercetus pada Mei 2018.

Mereka tidak mempedulikan apa yang berlaku pada 1946 (nasionalise Melayu), 1965 (Malaysian Malaysia), 1979 (kebangkitan Islam) dan 1998 (Reformasi).

—–
Zin, wartawan yang aktif pada 1980-an, pernah mengetuai Harakah dan bekas editor kanan Utusan Malaysia

CATEGORIES