Makna Hari Kemerdekaan bagi pemimpin Pakatan Harapan

Makna Hari Kemerdekaan bagi pemimpin Pakatan Harapan

Pada Sabtu lalu, 4 Ogos 2018, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Bulan Kemerdekaan di Georgetown, Pulau Pinang yang merupakan sambutan memperingati kebangsaan negara, meliputi tarikh 31 Ogos dan Hari Malaysia iaitu 16 September.

Bagi Dr Mahathir, ini adalah sambutan hari kebangsaan beliau yang ke-23 sebagai Perdana Menteri. Dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, beliau menjadi Perdana Menteri yang memimpin negara untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Ada satu gambar terkenal mengenai sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun 1997. Dr Mahathir berdiri bersebelahan dengan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di atas pentas, juga di Georgetown, Pulau Pinang.

Pada masa itu, khabar angin sudah tersebar bahawa Dr Mahathir sudah tidak senang dengan Anwar.

Rupa-rupanya itu adalah acara terakhir Dr Mahathir dan Anwar berada bersama di atas pentas dalam satu acara rasmi.

Kembali menjadi regu

Pada tahun 1998, Dr Mahathir memecat timbalannya itu. Kini, dua puluh tahun kemudian, Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri dalam suatu pakatan yang mana Anwar adalah ketua umumnya.

Dr Mahathir lahir pada tahun 1925 di Alor Setar, Kedah yang ketika itu merupakan sebuah negara komponen Unfederated Malay States (UFMS), diterjemahkan sebagai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah sistem British Malaya, sebuah entiti dalam Empayar British yang ditadbir dari Calcutta dan London.

Ketika Malaya mencapai kemerdekaan, Dr Mahathir adalah seorang doktor yang menjadi ahli Umno. Begitu juga semasa penubuhan Malaysia.

Namun ketika Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, Dr Mahathir adalah seorang Ahli Parlimen Perikatan dari Kota Setar Selatan.

Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng

Anwar lahir pada tahun 1947 di Cerok Tok Kun di tempat yang pada masa itu dipanggil sebagai Province Wellesley dalam Penang, salah satu wilayah Malayan Union yang ditubuhkan setahun sebelumnya.

Ketika Malaya mencapai kemerdekaan, Anwar berusia 10 tahun dan bersekolah di Stowell Primary School, dan ketika Malaysia ditubuhkan, beliau berada di Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Mohamad Sabu pula lahir pada tahun 1954 di Tasek Gelugor juga di Province Wellesley, Penang ketika itu sudah njadi sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan beliau berusia tiga tahun dan sembilan tahun bila Malaysia ditubuhkan.

Lim Guan Eng yang lahir pada tahun 1960 di Batu Pahat, Johor adalah anak Malaya merdeka.

Ketika Malaysia ditubuhkan, beliau berusia tiga tahun. Keluarganya berada di Singapura yang pada masa itu erupakan salah sebuah negeri dalam Malaysia.

Jadi pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan, dari yang seusia Dr Mahathir yang lahir pada zaman British Malaya hinggalah kepada Lim Guan Eng yang merupakan anak Malaya merdeka telah melalui pelbagai pergolakan politik negara walaupun secara rasminya gabungan parti itu baru ditubuhkan pada tahun 2015.

Parti paling muda, pemimpin paling tua

Parti dalam Pakatan Harapan yang paling muda ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia tetapi ia diketuai oleh pemimpin politik paling tua. Ia juga merupakan pecahan daripada Umno, parti yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir.

Pada hakikatnya pun, Umno yang ada hari ini adalah diasaskan oleh Dr Mahathir pada tahun 1988 dengan nama Umno Baru. Parti ini merupakan pecahan utama Umno lama yang dibatalkan pendaftarannya.

Umno lama adalah parti yang mengetuai Perikatan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Ketika Tanah Melayu mula merdeka, Dr Mahathir adalah Ketua Umno Kedah. Beliau memegang jawatan itu apabila persatuan yang dianggotainya iaitu Saberkas bergabung ke dalam Umno.

Namun beliau tidak dipilih bertanding dalam pilihan raya umum pertama pada tahun 1955 kerana beliau berselisih faha dengan Tunku.

Dr Mahathir meminta Tunku supaya menetapkan taraf pendidikan minimum bagi calon Umno yang akan bertanding dalam pilihan raya.

Beliau juga mahukan tentera British keluar dari Malaya sebaik saja mencapai kemerdekaan. Namun Tunku menolak cadangan itu.

Kini Dr Mahathir adalah satu-satunya generasi perjuangan kemerdekaan yang masih menyandang jawatan kerajaan.

Parti Amanah Negara

Parti Pakatan Harapan kedua paling muda ialah Parti Amanah Negara yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Dari segi rasmi, ia mengambil alih Parti Pekerja-pekerja Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai usaha untuk meneruskan perjuangan Parti Buruh Malaya yang dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1969. Parti Buruh ditubuhkan pada tahun 1952 dengan nama Pan-Malayan Labour Party yang turut disertai oleh Saberkas.

Tetapi dari segi pemimpin dan ahlinya, Amanah dilihat sebagai pecahan daripada Pas yang ditubuhkan pada tahun 1951. Pas pula adalah pecahan daripada Umno.

Sementara Parti Keadilan Rakyat, PKR adalah hasil gabungan daripada Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia, PRM pada tahun 2003.

Keadilan ditubuhkan pada tahun 1999 apabila ia mengambil alih parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia.

Susur galur Keadilan, PRM, DAP

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1991 sebagai pecahan daripada Hizbul Muslimin Malaysia, Hamim. Parti ini ditubuhkan pada tahun 1983 sebagai pecahan daripada Pas.

PRM pula ditubuhkan pada tahun 1955 sebagai penyambung perjuangan kemerdekaan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945.

Namun begitu, dari segi pemimpin dan ahli, PKR dianggap sebagai pecahan daripada Umno.

DAP yang menjadi parti tertua dalam Pakatan Harapan ditubuhkan pada tahun 1965 selepas Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Ia ditubuhkan oleh bekas anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura di Malaysia. PAP dan Perikataan adalah tonggak kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Maknanya Pakatan Harapan mepunyai susur galurnya dalam zaman perjuangan kemerdekaan Malaya, dan selanjutnya penubuhan Malaysia.

Namun begitu, pada tahun-tahun berbeza, pemimpin dan pendukung Pakatan Harapan mahu membawa Malaysia kepada keadaan yang berbeza daripada keadaan sepanjang 61 tahun lalu.

Atas pelbagai motif, rakyat telah memberi kemenangan pada Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.

Malaysia yang lebih terbuka

Selepas 100 hari berlalu, sebahagian manifestonya juga telah dilaksanakan. Secara umumnya kerajaan Pakatan Harapan telah buat banyak perubahan dengan suasana yang kini dipanggil sebagai Malaysia Baharu.

Kerajaan Malaysia Baharu adalah lebih terbuka, berakauntabiliti dengan kebebasan bersuara.

Walaupun terdapat kritikan tertentu dalam banyak perkara terhadap kerajaan Pakatan Harapan, tetapi umumnya dirasakan adalah hanya sedikit rakyat yang mahu kembali pada zaman pentadbiran Barisan Nasional.

Maka Hari Kebangsaan ini merupakan pengertian besar bukan saja bagi Pakatan Harapan dan penyokong-penyokongnya tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat boleh berdebat dan berpakat untuk membina negara yang lebih untuk semua penduduknya.

Revolusi 9 Mei

Kerajaan Pakatan Harapan telah menghidupkan semula semangat bersama. Tentulah terdapat banyak cabaran, tetapi tembok yang didirikan oleh mentaliti Barisan Nasional telah dapat dipecahkan.

Mentaliti cara lama sepanjang 60 tahun lalu sudah tidak dapat diterima. Perubahan berlaku tahap demi tahap, tetapi pada keadaan tertentu, ia melompat, itulah apa yang berlaku ketika sesuatu revolusi.

Maka 9 Mei itu adalah suatu revolusi dengan Hari Kebangsaan ini merupakan pembaharuan tekad bagi melakukan perubahan seperti mana yang dilakarkan untuk peristiwa 9 Mei itu.

Semua orang perlu berperanan. Daripada Dr Mahathir, Anwar, Mat Sabu dan Lim Guan Eng hinggalah kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli lain, sama ada berjawatan atau tidak.

Semuanya perlu kerja setakat yang mampu untuk mengubah Malaysia. Tetapi jika tidak berselera untuk bekerja atau berjuang, buatlah apa saja kegiatan asalkan tidak menghalang usaha pihak lain untuk memperbaiki keadaan. Inilah makna Hari Kebangsaan ke-61 ini.

Zin, bekas wartawan yang aktif pada 1980-an, akan menulis kolum mingguan “Di Bawah Kibaran Panji Harapan” ini pada setiap Sabtu.

CATEGORIES