Malaysia Dateline

Malam ambang Merdeka, rakyat Malaysia doakan kesejahteraan negara

Ribuan rakyat pelbagai lapisan usia dan kaum membanjiri lokasi tumpuan di seluruh negara untuk meraikan sambutan ambang Merdeka sambil menonton pertunjukan bunga api semalam.

Tinjauan Malaysia Dateline malam tadi di Dataran Merdeka, rata-rata berharap dan mendoakan kesejahteraan Malaysia agar kekal aman dan maju sebagai sebuah negara makmur.

Muhammad Faizal Musa, 32 yang hadir bersama keluarga meluahkan rasa gembira dengan sambutan malam Ambang Kemerdekaan yang dilihat meriah dari tahun sebelumnya.

“Dengan sambutan hari kemerdekaan ini, saya berharap perpaduan kaum kita terus kekal utuh. Sebenarnya, kita sesama kaum tak bermusuh pun. Hari ini elok sahaja semua berkumpul.

“Saya harap kerajaan dapat kekalkan kerja keras mengekalkan semangat perpaduan kita hari ini sebab kita duduk sini berbilang kaum. Saya doakan Malaysia terus maju dan gemilang,” katanya.

Bagi anak muda Yesudha Murali, 23, ini merupakan kali pertama dia dan keluarga menyambut ambang kemerdekaan menunggu detik 31 Ogos di Dataran Merdeka.

“Saya datang hari ini sebab nak berseronok dengan keluarga dan suasana sangat meriah. Nampak semangat semua orang yang sayangkan Malaysia kerana sanggup datang dan sambut kemerdekaan bersama.

“Sempena kemerdekaan negara kita, harapan saya pada kerajaan untuk kekalkan usaha positif menyatukan kami semua. Apa pun yang berlaku, ia adalah normal jika ada sedikit perselisihan faham tapi terima kasih kerana sehingga sekarang kita masih bersatu padu,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Yvonne, 49 yang datang dari Penang untuk menyambut malam kemerdekaan hari ini.

“Saya harap Malaysia akan jadi sebuah negara yang lebih maju, harmoni, dan tak ada gaduh-gaduh. Paling penting harmoni antara semua bangsa. Perpaduan kita pun masih kuat. Kita semua sama tak ada perbezaan warna kulit. Kita satu Malaysia,” katanya.

Manakala bagi warga ibu kota, Ting Jai Wei, 20, mengharapkan agar rakyat Malaysia menghargai keamanan negara yang dikecapi hari ini.