Malam Gong Langkasuka serlah komitmen AMANAH semarak seni persembahan

Hasnul dan Raja Bahrin Shah mengacarakan persembahan.

Konvensyen AMANAH Nasional yang berlangsung di Alor Setar bermula semalam diserikan dengan program santai, Malam Gong Langkasuka.

Aishah mendendangkan dua lagu.

Sungguhpun Stadium Darul Aman yang terletak beberapa kilometer daripada lokasi konvensyen dipenuhi ribuan peminat bolasepak yang menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara pasukan Kedah dan Felda United, dewan teater di tingkat enam hotel lokasi konvensyen tetap penuh dengan hadirin yang terdiri daripada perwakilan dan pemerhati.

Program dihoskan ahli parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dan ahli dewan undangan negeri (Adun) Morib Hasnul Baharuddin.

Walaupun tidak berpengalaman mengacarakan persembahan pentas, namun dua pemimpin nasional AMANAH itu berjaya memudahcarakan majlis dengan celoteh, puisi, maklumat dan fakta.

“Kami pun tak tahu mengapa diberi tugas ini. Mungkin kerana kami berdua jarang bercakap dalam mesyuarat,” kata Hasnul berseloroh.

Malam itu, hadirin dihiburkan dengan nyanyian dua artis jemputan Tok Ki dan Aishah dengan diselang seli bacaan puisi.

Pak Samad mendeklamasikan sajak.

Ketua Wanita AMANAH Johor Norhayati Bachok memulakan acara dengan bacaan puisi.

Aishah yang juga ahli jawatankuasa AMANAH Nasional kemudiannya tampil dengan lagu Bahtera Merdeka.

Tok Ki berterima kasih kepada AMANAH kerana menjemputnya membuat persembahan.

Tok Ki muncul dengan lagu rentak Nusantara yang pernah menjadi hits satu masa dulu. Setelah menyampaikan satu lagi lagu, penyanyi itu bermurah hati mendendang lagu baru yang baru dirakamnya khusus untuk hadirin.

Diselangi persembahan Tok Ki, Setiausaha Agung AMANAH Mohd Anuar Tahir tampil membacakan sajak dengan penuh semangat.

Aishah sekali lagi dijemput Raja Bahrin untuk menyampaikan lagu dan kali ini menyanyikan lagu hitsnya Janji Manismu.

“Lagu ini mungkin berkaitan dengan janji manis politik yang tidak tertunai,” kata Raja Bahrin sebelum memberi ruang kepada Aishah di pentas.

Malam Gong Langkasuka ditutup dengan bacaan sajak oleh Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said.