Tiga kanak-kanak antara 14 individu cedera dalam insiden tembakan di kejiranan Garfield Park, Chicago, pada malam Halloween.
Lapor AP, tiga mangsa terdiri daripada seorang kanak-kanak berusia tiga tahun manakala dua lain masing-masing berusia 11 dan kemungkinan 13 tahun.
Polis Chicago, David Brown, berkata mangsa selebihnya adalah dewasa berusia antara 30 hingga 50-an manakala seorang lagi mangsa turut dilanggar sebuah kereta.
Sekurang-kurangnya 10 ambulans dihantar ke lokasi kejadian, menurut pihak bomba Chicago.
Menurut Brown, tembakan dilepaskan sekitar 9.30 malam dan kejadian berlaku dalam sekelip mata.
Walau bagaimanapun, insiden tembakan itu berjaya dirakam dengan suspek dilihat melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Menerusi rakaman video itu, terdapat sekurang-kurangnya dua penembak.
Mangsa kemudian dibawa ke beberapa hospital dan keadaan mereka dilaporkan antara kritial dan tidak mengancam nyawa.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan manakala motif tembakan masih belum diketahui.
Polis sedang menunggu rawatan selesai diberikan sebelum menemu bual mangsa.
Tiada keterangan mengenai kereta atau suspek dan tiada individu yang ditahan.
Halloween lazimnya dikaitkan dengan hantu, ahli sihir dan syaitan dalam kebudayaan Barat.
Tradisi perayaan malam pada setiap 31 Oktober di kebanyakan negara-negara Barat disambut dengan menghiasi rumah dan pusat beli-belah dengan simbol-simbol Halloween.