Malaysia Dateline

Malam ini kita anak Malaysia, esok …

Beberapa tahun lalu, ketika kita bersorak untuk Lee Chong Wei yang bertarung menentang Lin Dan dalam pertandingan akhir kejohanan badminton, seorang sahabat saya menyindir, “Malam ini kita semua rakyat Malaysia. Esok kita menjadi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan .…”

Tidak terdaya saya menyanggah sindirannya. Malah apa yang diperkatakannya agak terkesan buat masyarakat Cina.

Apa tidaknya? Tiada ayat yang lebih tepat berbanding “sukan menyatukan rakyat Malaysia” untuk menggambarkan suasana di kedai mamak, apabila rakyat tanpa mengira kaum berteriak untuk memberi sokongan kepada pemain Malaysia yang berhempas-pulas di gelanggang.

Pada detik saat sebegitu, kita tidak melihat warna kulitnya. Kita tidak mempersoalkan semangat patriotismenya. Kita tidak menanya di mana beliau bersekolah, kebangsaan atau jenis kebangsaan. Kita tidak kisah sama ada beliau fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Kita hanya mendoakan kemenangan beliau, agar Jalur Gemilang dikibarkan dalam dendangan irama Negaraku ketika upacara penyampaian hadiah.

Namun, setelah segala-gala ini melabuh tirai, kita meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Kita menuding jari kepada sekolah jenis kebangsaan sebagai punca perpecahan masyarakat; Kita mempertikaikan semangat patriotisme mereka yang tergagap ketika bertutur dalam bahasa Melayu; Kita sentiasa menanam buruk sangka terhadap mereka, sebagai kaum yang dapat betis mahu peha; Kita mengandaikan mereka mahu mendominasi politik setelah menguasai ekonomi; Kita mengadakan kempen untuk mendahulukan produk Muslim tanpa memikirkan kesan terhadap rakan non-Muslim.

Bukankah ia saling bercanggah? Bagaimana Lee Zii Jia yang lahir dari SJK (c) Keat Hwa boleh menyatukan satu Malaysia, jikalau benar sekolah jenis kebangsaan punca perpecahan masyarakat Malaysia? Dan apabila kita menyaksikan bagaimana ibu bapa Lee Zii Jia bertutur dalam bahasa Melayu yang lancar (malah istilah yang digunakan agak berbunga-bunga bagi Cina yang segenerasi dengannya), apa lagi yang kurang “Ke-Malaysia-an” daripada keluarga Cina ini?

Seringkali komuniti Cina diseru, agar menjaga sentimen Melayu yang diselubungi kegusaran dan keresahan ketika berdepan dengan senario politik terkini. Namun, kepekaan ini harus berlaku dalam dua hala, di mana golongan kaum etnik minoriti seperti Cina, India, malah orang asal, juga harus diberi perhatian yang setimpal.

Sudah tentu ada yang sinis apabila kempen BMF (Buy Muslim First) diuar-uarkan, dengan sindiran “jikalau dasar sebegini diamalkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), bukankah kita akan kehilangan seorang juara All England 2021?” Bayangkan, jikalau perdebatan sedemikian dilanjutkan, bukankah ia bakal mencetuskan lebih sentimen perkauman yang tidak sihat untuk masyarakat Malaysia? Sedangkan, sama ada Hafiz Hashim (juara perseorangan lelaki All England 2003), Lee Chong Wei (2010, 2011, 2014, 2017) mahupun Lee Zii Jia (2021), mereka adalah anak watan Malaysia, yang menjadi kebanggaan kita semua?

Paling jijik apabila politikus berpusu-pusu menayangkan gambar bersama Lee Zii Jia, sungguhpun dalam realitinya mereka mengamalkan politik perkauman. Mereka merampas kuasa atas nama “perpaduan ummah”, menyemai ketakutan dalam kalangan Melayu dengan dakwaan bahawa Islam terancam ketika DAP (baca: Cina) berpegang kuasa. Namun, jikalau dibandingkan zaman 1990-an, bukankah pasukan badminton negara kini juga “dikuasai bukan Melayu”, seandainya kita berfikir dalam kepompong perkauman?

Jelas, naratif dan retorik politik perkauman, gagal membawa kita ke mana-mana. Saya masih ingat adegan pemain regu campuran, Chan Peng Soon mendakap wartawan Astro Arena Ahmed Shahrazad Sani yang sedang membuat laporan siaran langsung, setelah pasangan Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir Olimpik 2016. Kejayaan itu dikongsi bersama, dengan air mata dan kegembiraan yang terpapar dari wajah mereka. Pada saat-saat itu, kita semua anak Malaysia.

Namun, ini sekadar contoh bintang sukan, yang lebih menarik perhatian umum. Bayangkan, andainya kita ketepikan prejudis terhadap warna kulit, agama, bahasa, dan sekolah, sudah tentu lebih banyak kejayaan yang boleh dikongsi bersama. Kejayaan lepasan sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah persendirian Cina dan sebagainya, sepatutnya dirangkumi sebagai kejayaan Malaysia. Bakat-bakat ini harus diiktiraf untuk terus berbakti untuk Malaysia yang tercinta, sebagaimana kita meraihkan kejayaan Lee Zii Jia untuk merangkul Kejohanan Badminton All England 2021.

Moga-moga satu hari nanti, kita semua anak Malaysia ketika bersorak di kedai mamak pada malam ini, dan kekal sebagai anak Malaysia apabila bangun pada keesokannya.