Malaysia Dateline

Malam ini saya tak online, kata Mokhtar Senik

Ulama Pas, Mokhtar Senik memberitahu pengikutnya bahawa beliau tiada kuliah agama secara langsung di Facebook malam ini seperti yang dijadualkannya.

Pemberitahuan oleh pemilik Pondok Annur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu dimaklumkan kira-kira jam 6 petang tadi.

“Malam ini saya tak online. Kerana ada urusan yang tak dapat dielakkan,” kata bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang tersebut.

Pemerhatian mendapati lebih 30 daripada 162 pengguna Facebook meninggalkan emoji ketawa selepas dua jam hantaran ringkas itu dimuatnaik.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu antara lain mengingatkan perlunya umat Islam mengasuh diri cinta kepada Allah dengan mengutamakan urusan Allah.

Mokhtar dalam kuliah atas talian selama sejam itu juga menyatakan hukum fikah dan tasawuf adalah berbeza.

“Macam suami isteri, hukum asal memasak nasi untuk suami bukan tanggungjawab isteri. Tapi bila pergi kepada tasawuf, tarbiyaah adalah lebih baik isteri memasak untuk suami.

“Suami balik, (isteri) letak air, nasi dan sebagainya walaupun itu bukan tugas dia. Suami patut ada khadam di rumah dia tapi mengasuh jiwa isteri penghormatan kepada suami,” jelasnya lagi.

Walau bagaimanapun, kuliah dengan lebih 6,100 tontonan itu mendapat reaksi hampir 20 peratus daripada 490 pengguna Facebook bertanda emoji ketawa setakat malam ini.