Malang 1MDB: Projek Bandar Malaysia pula dirundung masalah

Malang 1MDB: Projek Bandar Malaysia pula dirundung masalah

Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Itulah yang dihadapi syarikat pelaburan kedua negara apabila projek Bandar Malaysia yang menjadi kebanggaannya pula dilanda masalah.

Ini kerana perjanjian usahasama RM7.41 bilion bagi memiliki 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia antara konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) tidak menjadi kenyataan.

Ia berikutan perjanjian jualan saham yang dimeterai pada 31 Disember 2015 oleh TRX City Sdn Bhd dengan konsortium itu kini telah luput walaupun tempoh lanjutan diberikan.

Namun yang menjadi persoalan saat ini, adakah 1MDB akan memulangkan semula deposit sebanyak RM741 juta yang dibayar syarikat consortium IWH-CREC soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee.

“Siapa yang akan membayar balik deposit RM741 juta yang dibayar kepada 1MDB oleh konsortium IWH?

“Adakah 1MDB akan mengembalikan bayaran deposit, atau adakah Kementerian Kewangan perlu sekali lagi menyelamatkan 1MDB dengan mengeluarkan RM741 juta hasil kemelut hartanah 1MDB?” ujarnya dipetik Roketkini.

Menurut Tony, pengumuman TRX City Sdn Bhd semalam tidak mengejutkan malah beliau turut mempersoalkan alasan di sebalik cadangan penjualan ekuiti itu kepada sebuah konsortium dengan jumlah aset bersih sebanyak hampir RM3.8 bilion atau kurang daripada separuh nilai urus niaga berkenaan.

“Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2015, keuntungan bersih syarikat itu sebelum cukai hanya RM170.4 juta.

“Walaupun IWH jelas cuba melakukan lebih daripada kemampuannya, 1MDB dengan bangga mengumumkan pada 31 Disember 2015 yang perjanjian penjualan IWH-Bandar Malaysia menandakan peristiwa penting terakhir dalam pelan rasionalisasi 1MDB seperti yang dikemukakan kepada kabinet Malaysia pada 29 Mei 2015,” katanya.

Perkara ini juga pernah dibangkitkan dalam soalan tambahan di Parlimen mengenai November tahun lalu dan April tahun ini.

Namun, jawapan parlimen yang diberikan hanya menyatakan bahawa konsortium IWH akan membayar faedah 6 peratus ke atas pembayaran yang belum dijelaskan sehingga jumlah berkenaan dibayar sepenuhnya pada 2023.

Rentetan dari kegagalan ini, beliau berkata Kementerian Kewangan terpaksa menangung faedah sukuk RM2.4 bilion yang diambil oleh 1MDB bagi projek Bandar Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)