‘Malang jadi rakyat Malaysia tarikh pilihan raya pun tidak tahu’

‘Malang jadi rakyat Malaysia tarikh pilihan raya pun tidak tahu’

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan secara sinis menganggap rakyat Malaysia dalam keadaan malang apabila masih tidak diberitahu tarikh pilihan raya berbeza dengan amalan demokrasi di negara-negara lain di rantau ini.

Menurutnya, pengundi di tiga negara lain di Asia Tenggara tidak berteka-teki mengenai tarikh pilihan raya seperti rakyat di Malaysia.

“Malang jadi rakyat Malaysia, tarikh pilihan raya pun tak tahu. Kalau di Indonesia, mereka sudah tahu tarikh pilihan raya.

“Masyarakat dan pengundi di Thailand dan Singapura pun mereka tahu bila tarikh mengundi. Kita di Malaysia ini berteka-teki (tarikh pilihan raya),” tegasnya dalam Ceramah Umum AMANAH di Jempol malam tadi.

Beliau berpendapat hanya isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor sahaja mengetahui tarikh sebenar hari pembuangan undi.

“Hanya di Malaysia ini, yang tahu tarikh pilihan raya namanya Rosmah Mansor,” perlinya dalam program yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Baharuddin Ahmad.

Sehubungan itu, Sany memberi jaminan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meneruskan sikap merahsiakan tarikh pilihan raya seperti diamalkan kerajaan Umno-BN selama ini.

“Kalau diizinkan Allah Taala, kita PH dapat kuasa, malam ini kita angkat sumpah membentuk kerajaan, boleh tak kita umumkan tarikh pilihan raya ke-15? Boleh.

“Kalau Indonesia, Singapura dan Thailand, boleh. Kenapa Malaysia tidak boleh? tegasnya.

Timbalan Ketua Pemuda PH itu turut menyifatkan pembangkang di negara ini terpaksa berlawan dengan segala instrumen kerajaan bukan sekadar menentang parti Umno-BN.

Walhal, jelasnya, situasi musim pilihan raya berbeza di negara-negara jiran apabila parti pembangkang juga diberi ruang bersiaran di televisyen dan menganjurkan program di prasarana sama yang diguna parti pemerintah.

“Kita masuk pilihan raya bukan hanya berlawan dengan Umno-BN. Buletin Utama di TV3 dari jam 8 sampai 8.45 malam, dia hentam PH.

“Kalau di Indonesia, parti kerajaan diberi peluang bercakap selama dua jam di televisyen. Malam esoknya, parti dari pembangkang pula dibenarkan bercakap dua jam di kaca televisyen. Itu di Indonesia.

“Di Thailand, kalau parti kerajaan buat ceramah raksasa di stadium, esoknya parti pembangkang juga dibenarkan guna stadium untuk program sama.

“Tapi di Malaysia. Dia (Umno-BN) gunakan segala instrumen kerajaan yang ada. Sebab itu, kalau kita berlawan dengan Umno-BN dah lama dah kita pergi ke Putrajaya tapi kita berlawan dengan kerajaan Malaysia,” tambah Sany.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES