Malaysia Dateline

Malaysia Airlines tawarkan penerbangan tambahan sewaktu Tahun Baru Cina

Malaysia Airlines akan menjalankan operasi penerbangan tambahan ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perjalanan udara sewaktu cuti Tahun Baru Cina.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan kebangsaan itu menyebut, 9,980 tempat duduk tambahan akan ditawarkan melalui 38 penerbangan tambahan dan 30 penerbangan yang dinaik taraf.

Menurut syarikat itu, penerbangan tambahan pergi balik termasuk laluan Kuala Lumpur (KL)-Sibu, KL-Kota Kinabalu, KL-Miri, KL-Sandakan dan Kota Kinabalu-Taipei.

Sementara itu, 30 penerbangan pergi balik akan dinaik taraf kepada pesawat 290-tempat duduk A330-300 daripada pesawat 160-tempat duduk B737-800 termasuk laluan KL-Singapura, KL-Pulau Pinang, KL-Kuching dan KL-Kota Kinabalu.

Pelanggan boleh membuat tempahan melalui laman sesawang Malaysia Airlines dari sekarang hingga 9 Dis 2018. Tawaran ini adalah untuk penerbangan dari 31 Jan hingga 10 Feb tahun depan.

– BERNAMA