Malaysia Airlines terbang ke Kochi mulai 31 Mac

Malaysia Airlines terbang ke Kochi mulai 31 Mac

Malaysia Airlines hari ini mengumumkan penyambungan semua penerbangan ke Kochi, India, mulai 31 Mac berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata ia akan terbang setiap hari ke Kochi menggunakan pesawat B737-800.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata India merupakan pasaran yang penting dan oleh itu penerbangan ke Kochi diperkenalkan semula atas kepentingan perniagaan.

“Kami juga meningkatkan kapasiti laluan Kuala Lumpur-Mumbai dengan menukar pesawat B737-800 kepada pesawat berangka besar A330-300 bagi membuktikan komitmen kami kepada pasaran India,” katanya.

Mulai sekarang hingga 20 Jan, pelanggan boleh menempah penerbangan ke Kochi daripada serendah RM299 dua hala (kelas ekonomi) dan serendah RM899 dua hala (kelas bisnes) bagi perjalanan dari 31 Mac dan 31 Ogos tahun ini.

— BERNAMA