Malaysia Dateline

Malaysia akan gagal, miskin jika ikut model ‘negara Islam’ ala Isma, kata kumpulan G25

Kumpulan tokoh progresif G25 memberi amaran Malaysia akan menjadi negara miskin dan gagal jika mengikut model “negara Islam” Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

“Pandangan kami dalam G25, apa yang dikempenkan oleh Isma akan menyebabkan negara ini menjadi gagal dengan kemiskinan dan kesengsaraan untuk rakyatnya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan dipetik Malaymail semalam.

Tambahnya, Isma harus menjelaskan sama ada sistem sedemikian boleh menjadikan ekonomi negara ini kuat untuk meningkatkan taraf hidup dan memberi keyakinan terhadap masa depannya.

Kumpulan itu juga yakin Sabah dan Sarawak tidak boleh menerima apa-apa ideologi seumpama itu yang disifatkannya dalam kategori “aliran sangat kanan.”

“Isma mungkin boleh mendapat satu juta tandatangan tetapi Malaysia arus perdana, yang mewakili majoriti, tidak akan menerima pakai agenda Islamnya,” kata G25 lagi.

Hujung bulan lalu, badan Islam itu melancarkan kempen untuk mendesak Malaysia diiktiraf sebagai negara Islam dengan hujah perlembagaan dan kedudukan agama di negara ini.

Ingin mengutip sejuta tanda tangan dalam tempoh lima bulan, kempen tersebut menggunakan simbol jari berbentuk huruf “C,” yang melambangkan bulan sabit.

Lapan mesej kempen itu termasuklah menolak Malaysia sebagai negara sekular dan menegaskan ia asalnya tanah Melayu dan bangsa itu penduduk asalnya.

Mereka juga mahu rakyat melaksanakan kewajipan Islam, memperkasa undang-undang Islam dalam sistem kehakiman dan mengukuhkan peranan bahasa Melayu.

Bahan kempen mereka menggunakan huruf jawi, bukan huruf rumi, yang ditujukan khas kepada orang Melayu yang boleh membacanya.