Malaysia akan rebut bahagian pasaran halal pada Olimpik Tokyo 2020

Malaysia akan rebut bahagian pasaran halal pada Olimpik Tokyo 2020

Malaysia mahu memperoleh sebahagian daripada US$300 juta (US$1= RM4.12) pasaran halal pada Olimpik Tokyo 2020, terutama dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata syarikat-syarikat Jepun telah menunjukkan minat yang mendalam dalam F&B Malaysia, serta sektor kesihatan dan kecantikan.

“Jepun telah membuka pintu mereka kepada pasaran halal berbanding 10 tahun lepas, dan jika perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) tidak mengambil kesempatan ini, ia merupakan suatu kerugian besar,” katanya selepas pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019, di,sini hari ini.

Pada 2017, eksport halal Malaysia ke Jepun bernilai RM2.8 bilion, dan angka itu dijangkan terus meningkat kepada RM3.1 bilion pada 2018, RM3.4 bilion pada 2019 dan RM3.7 bilion pada 2020.

Mohd Redzuan berkata lebih 10 PKS daripada 320 peserta pameran, telah mengeksport produk mereka ke Jepun dan selebihnya bersedia untuk berbuat demikian.

“Kami berharap pada ekspo ini, kami dapat melepasi sasaran jualan sebanyak RM50 juta yang kami tetapkan untuk sesi padanan perniagaan,” katanya.

Setakat hari ini, potensi jualan sebanyak RM40.8 juta direkodkan daripada 32 sesi pemadanan perniagaan, yang merangkumi 27 PKS.

Antara syarikat Jepun yang mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan ialah Take One Co. Ltd yang mengendalikan FamilyMart, Ohga Pharmacy, Hayabusa International dan Yatsumoto Tsusho Co. Ltd.

Bagi Malaysia, lima syarikat utama yang menyertai sesi tersebut ialah Lulu Group Retails Sdn Bhd, Ramly Halal Mart Sdn Bhd, Aeon Big (M) Sdn Bhd, Nestle Malaysia Bhd dan Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd.

Sementara itu, Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata sektor pelancongan Jepun telah berkembang pesat sejak kebelakangan ini susulan peningkatan permintaan ke atas produk halal.

“Kira-kira 50 tahun lalu, asas utama rundingan kami bukan untuk mengimport produk pertanian asing, namun sekarang, kami mahukan bantuan dari Malaysia memandangkan Malaysia terkenal kerana sektor halalnya,” katanya.