Malaysia Dateline

Malaysia aman jika ‘parti bulan’ berhenti jadi mufti atau hakim

Baguslah jika parti bulan boleh berbaik-baik dengan parti keris. Sama bagusnya dengan parti itu berbaik-baik dengan parti bunga, MCA dan Gerakan.

Jika disorot dari sudut politik sempit, tentu lebih bagus jika parti bulan bergaduh dengan parti keris. Hasil untuk parti bulan sudah tentu seperti di Melaka.

Namun, dari sudut lain, parti bulan patut berbaik-baik dengan semua parti, bukan saja parti keris. Jika parti bulan berbaik-baik juga dengan parti A dan parti roket, itu pun bagus.

Sebab, apabila parti bulan berbaik-baik dengan parti lain, parti bulan tidak rasa dirinya lebih suci. Hasilnya, parti bulan tak akan label parti lain sesuka hati.

Misalnya, semasa parti bulan bergaduh dengan parti keris, parti keris dilabel musuh Islam. Kini tidak lagi sebab parti bulan sedang menagih cinta parti keris.

Dulu, semasa parti bulan bergaduh dengan MCA, dilabelnya parti itu anti hudud. Tapi kini parti bulan tak ungkit lagi isu anti hudud sebab dah berbaik-baik dengan MCA.

Semasa parti bulan berbaik-baik dengan parti roket, dibelanya parti roket mati-matian. Parti roket bebas labelan negatif daripada parti bulan.

Apabila parti bulan marah parti A, ahli parti A bukan sekadar dihukum lawan syariat dan liberal, bahkan didoa laknat dan dihalaldarahkan.

Justeru, jika parti bulan berbaik-baik dengan parti A, selamatlah orang parti A daripada sinisan, sindiran dan labelan.

Saya sokong parti bulan berbaik-baik dengan semua parti politik lain. Kerana itulah cara yang ada untuk parti-parti lain selamat daripada labelan negatif, dituduh anti islam atau dikata mesra maksiat.

Tentu bumi Malaysia akan aman damai apabila parti bulan berhenti jadi mufti atau jadi hakim.