Malaysia Dateline

Malaysia antara negara paling buruk di dunia bilangan hari persidangan

Malaysia merupakan antara negara yang paling buruk sekali di dunia dari segi bilangan hari persidangan yang diadakan setiap tahun.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dalam satu kenyataan beliau berkata, takwim persidangan yang disediakan bagi tahun hadapan amat mengecewakan.

“Sepatutnya hari persidangan tahun 2022 ditambah sebagai langkah memperkasakan Parlimen. Namun begitu ianya tidak diendahkan oleh kerajaan walaupun perkara ini telah dibangkitkan untuk beberapa kali.

“Menambahkan jumlah hari persidangan merupakan perkara asas yang perlu dilaksanakan bagi menyuburkan sistem demokrasi dalam negara ini.

” Tahun hadapan Malaysia akan bersidang selama 59 hari sahaja dan ianya amat jauh bezanya dengan United Kingdom yang bersidang lebih kurang 135 hari setahun serta banyak lagi negara-negara maju yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen bersidang lebih daripada 100 hari setahun, ‘ ujar beliau.

Tambahnya, persidangan hanya 59 daripada 365 hari oleh Dewan Rakyat negara ini membuktikan kelemahan kerajaan yang tidak berani untuk mengadakan persidangan yang panjang serta institusi Speaker telah menjadi boneka kerajaan yang memerintah.

Kata beliau lagi, isu menambahkan jumlah hari persidangan telah pun dibangkitkan semasa ucapan dasar Belanjawan 2022 dengan saranan sekurang-kurangnya 120 hari setahun sebagai satu permulaan kepada tindakan reformasi Parlimen yang membina.

Namun begitu kerajaan tidak menampakkan kesungguhan dalam memperkasakan sistem Parlimen negara termasuklah Ahli-ahli Parlimen tidak diberikan masa secukupnya untuk berbahas serta terdapat ramai juga Ahli Parlimen tidak mendapat peluang untuk berbuat demikian.