Malaysia antara terendah dalam penyertaan wanita dalam politik

Perwakilan Konvensyen AWAN Johor pada 13 Oktober lalu.

Oleh AMNI JAGAT

Walaupun dalam pemerintahan Malaysia Baharu yang menampilkan sosok wanita sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama di negara ini tetapi pencapaian tersebut masih tidak memadai, tegas Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Johor, Norhayati Bachok.

Menurut Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) negeri itu, Malaysia berada di tangga ke-155 daripada 188 negara untuk penyertaan wanita dalam politik.

Beliau memetik kajian ‘Inter Parlimentary Union’ yang meletakkan peratusan wanita berpolitik di Malaysia lebih rendah dari negara-negara kurang membangun di Asia Tenggara.

“Selain Inter Parlimentary Union, kedudukan Malaysia dalam Global Gender Gap Report 2017 yang diterbitkan oleh World Economic Forum juga tidak begitu menggalakkan iaitu pada tangga 104 dari 144 negara di dunia.

“Hal ini sedikit sebanyak disebabkan secara tradisinya memang wujud ‘gender-bias’ atau diskriminasi jantina dalam politik di Malaysia.

“Selain itu, sasaran pembabitan wanita untuk Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut menjadi persoalan sama ada sasaran tersebut mampu ditepati atau tidak.

“Hal ini memang sedikit mengecewakan para wanita yang mengerah tenaga demi memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya dalam ucaptama ketika Konvensyen AWAN Johor kali kedua.

Sehubungan itu, Norhayati mengajak seluruh wanita khususnya AWAN Johor untuk menonjolkan kebolehan dan potensi wanita pada era perubahan ini.

Katanya, AWAN tidak harus berada dalam keadaan selesa dan mengekori di belakang sahaja sebaliknya perlu menjadi pemimpin dalam setiap lapisan masyarakat.

“Kesempatan AWAN yang hari ini telah menjadi pemerintah di bawah kerajaan PH harus diambil dengan bijak dan ia selari dengan hasrat kerajaan yang beriltizam untuk memastikan sistem ekonomi negara yang peduli wanita.

“Selain itu, saranan saya agar Malaysia wajar mengambil langkah proaktif untuk mempercepat dan meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat dasar dalam memastikan agenda pemberdayaan wanita tidak tersasar dari arus pembangunan negara.

“Kita (AWAN) harus menyediakan tokoh berbakat untuk menjadi pemimpin pelapis ke arah Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15),” seru Norhayati lagi.

Konvensyen AWAN Johor kali kedua dirasmikan Senator Aiman Athirah Al Jundi dan turut dihadiri Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0