Saya tidak dapat mengelak daripada menyebut Malaysia Baharu (MB) apabila istilah Normal Baharu (NB) muncul di masa pandemik global Covid-19. Saya memilih perkataan ‘baharu’ dan bukan ‘baru’ sepanjang tulisan ini untuk menggambarkan ianya sesuatu yang berlawanan dengan adjektif ‘lama’. ‘Baru’ ialah periodik iaitu menggambarkan masa dan bukan adjektif. Itu bezanya ‘baharu’ dan ‘baru’.
Persamaan Malaysia Baharu dan Normal Baharu ialah adjektif ‘baharu’ yang dipakai untuk menggambarkan sesuatu yang bertentangan dengan yang ‘lama’. Dengan kata lain Malaysia Baharu bukan Malaysia yang ‘lama’ dan Normal Baharu bukan yang macam Normal yang ‘lama’.
‘Baharu’ tidak muncul tanpa sebab musabbab yang memangkinkan kewujudannya. Bila kita kata ‘baharu’ mesti ada ‘lama’ yang sudah terpakai selama ini. Sekarang soalnya apakah yang ‘lama’ semua tidak baik? Dan mestikah yang ‘baharu’ semuanya bagus?
Kalau kita mahukan jawapan, kita kena faham asas terlebih dahulu. LAMA adalah kebiasaan yang dah terpahat selama ini dan diterima sebagai ‘biasa’, kalau kita nak tukar kepada BAHARU kita perlu ada alasan yang kukuh sebagai contoh, cara LAMA bole membawa kepada ancaman nyawa, kemusnahan hidup atau mengundang bencana yang bakal menimpa. LAMA yang boleh membawa bala perlu digantikan dengan BAHARU yang lebih terjamin dan selamat.
Alasan keperluan BAHARU jika kukuh seperti disebut di atas, dengan sendirinya yang LAMA akan ditinggalkan dan persediaan kepada BAHARU akan bermula. BAHARU diterima jika nyawa, keselamatan dan ketenteraman awam dapat dipelihara. Atas alasan kepentingan awam, Normal Baharu di dunia hari ini semakin diterima orang ramai walaupun pembudayaan BAHARU akan mengambil sedikit masa.
Menarik tentang istilah Normal Baharu ialah perkataan Normal atau Kelaziman yang dikekalkan, bukankah Normal atau Kelaziman itu menggambarkan sesuatu yang terbiasa dipakai selama ini aka LAMA? Apakah yang BAHARU kalau begitu?
Yang BAHARU ialah cara, kaedah, pendekatan dan gaya manakala yang LAMA tetap satu kebiasaan seperti aktiviti harian manusia bersosial, berinteraksi, bekerja dan berekonomi. Semua yang dah LAMA dibuat ini dilakukan dengan cara BAHARU dengan mengekalkan penjarakkan sosial, bilangan terhad dalam perhimpunan sosial, memakai pelutup muka, amalan kebersihan diri dan pergerakan yang terhad.
Normal Baharu telah membuka cara BAHARU untuk aktiviti LAMA yang kita sudah terbiasa buat selama ini. Bezanya ialah tiada sentuhan dalam bersalaman, cara BAHARU ialah meletak tangan di dada. Melepaskan rindu kawan, sanak-saudara dan keluarga menggunakan platform maya seperti Skype, Zoom dll adalah BAHARU, berinteraksi memang dah LAMA kita buat. Bermesyuarat cara maya menjadi cara BAHARU membuat keputusan penting dan bekerja di rumah menjadi mandatori. Perhimpunan politik tidak lagi secara fizikal malah pendengar dan penonton politik lebih ramai melalui capaian maya, siap boleh berinteraksi. Tiada yang BAHARU dari amalan yang kita dah biasa selama ini, cuma yang BAHARU ialah cara dan kaedahnya atas alasan menjaga kepentingan dan kemaslahatan semua pihak.
Untuk memahami Malaysia Baharu (MB), rasional yang sama diperlukan seperti kita memahami Normal Baharu. Malaysia dan segala sesuatu yang membentuk tegak berdirinya negara ini adalah yang kita terima selama ini malah yang kita pertahankan. Cara LAMA yang memudaratkan seluruh rakyat seperti amalan Korupsi yang jika tidak diperangi akan diterima sebagai kebiasaan yang memudaratkan. Cara BAHARU diperlukan untuk melawan amalan Korup melalui parti dan kepimpinan negara yang bersih dan berintegriti.
Cara LAMA mengekalkan kuasa ialah bermain sentimen perkauman dan menyemarakkan kebencian dan bermain teori konspirasi. Kaedah berpolitik ini telah meruntuhkan asas kepelbagaian dalam negara ini dan menggugat kestabilan. BAHARU ialah membenteras fahaman perkauman sempit melalui kepimpinan negara dan politik serta NGO yang teguh pendirian mempertahankan Kepelbagaian Malaysia.
Cara LAMA ialah amalan agama yang sempit menanam ketaksuban kepartian dan kepuakan sehingga lahir budaya agama alat penyebar kebencian antara rakyat. BAHARU ialah memperkukuhkan peranan agama sebagai jambatan kedamaian dan keamanan melalui dasar negara yang penuh Kemakmuran dan Rahmah.
Malaysia Baharu (MB) ialah cara dan kaedah bagaimana Malaysia yang kita peluk dan belai selama ini hendak diselamatkan dari ancaman cara LAMA (baca memudaratkan) yang boleh meruntuhkan asas negara ini. Malaysia tetap Malaysia LAMA, yang BAHARU ialah cara kita mentadbirnya. Itulah hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) bila diberi mandat memerintah usai PRU ke 14 dengan janji memerangi Korupsi, Memakmurkan Negara, Membawa Rahmat untuk semua dan mengamalkan Ketelusan dan Integriti.
Normal Baharu (NB) mengajar kita bahawa tidak semua yang LAMA mesti bagus apabila ia mengancam nyawa kita dan orang lain. Ini bukan bermakna kebiasaan LAMA yang baik mesti dihapuskan cuma kebiasaan itu hendaklah diamalkan dalam perspektif lain melalui kaedah BAHARU dan cara BAHARU.
Ada yang mengatakan Malaysia Baharu hampir tenggelam dalam badai kerajaan Perikatan Nasional. Saya mengatakan tidak! Normal Baharu adalah penjelasan intipati kepada niat dan hasrat Malaysia Baharu dari Pakatan Harapan. Malaysia Baharu tetap segar dalam semangat penggerak tegar dan pendokongnya hingga ke saat ini.
Alhamdulillah hari ini Normal Baharu muncul memahamkan rakyat Malaysia bahawa tidak semestinya yang BAHARU itu merosakkan jikalau kepentingan semua pihak terpelihara. BAHARU bukan bererti memunggah segalanya, hanya cara dan kaedah sahaja yang memerlukan sesuatu yang BAHARU. Itulah yang Pakatan Harapan sebagai kerajaan selama 22 bulan mahu buktikan dalam perjuangan MALAYSIA BAHARU yang diyakininya.
*Penulis ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH Negara.