Malaysia Baharu jadikan Singapura dilihat terkebelakang

Malaysia Baharu jadikan Singapura dilihat terkebelakang

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum ke-14 lalu dan berjaya membentuk kerajaan di Malaysia memberikan kesan politik yang besar kepada negara jiran Singapura.

Demikian pandangan Bridget Welsh, profesor madya sains politik Universiti John Cabot di Rome dalam tulisan beliau yang disiarkan Nikkei Asian Review 10 Julai lalu.

Kata beliau, kajian semula yang dibuat oleh perdana menteri baharu Malaysia mengenai perjanjian bekalan air dengan Singapura dan juga mengenai projek keretapi laju yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan negera itu adalah tanda-tanda ketengangan hubungan Sinagpura-Malaysia.

Masalah utama yang dihadapi PAP, parti pimpinan Lee Hsien Loong adalah, pembangunan di bahagian utara Johor yang bersempadanan dengan Singapura telah mendedahkan kelemahan Singapura.

PAP kini menjadi parti yang paling lama berkuasa di Asia Tenggara dan ia tidak lagi memiliki jiran terdekat yang tidak demokratik. Kemenangan PH yang dipimpin Mahathir menjadi cermin kepada ketakutan utama PAP iaitu kekalahan mereka pula.

Lebih buruk lagi kata Bridget, sesetengah faktor yang menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) juga terdapat di Singapura. Yang pertama adalah cabaran terhadap pembaharuan pimpinan.

Sejak tiga tahun yang lalu, PAP berhadapan dengan kemelut mengenai siapakah yang bakal menggantikan Lee, 66 sebagai perdana menteri, untuk digantikan dengan generasi baharu yang digelar 4G.

Antara yang menjadi pencabar utama ialah Chan Chun Sing, menteri perdagangan dan industri dan bekas ketua tentera, Menteri Kewangan Heng Swee Keat, bekas pengarah urusan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Ong Ye Kung, menteri pendidikan dan menteri pertahanan kedua.

Masalah yang dihadapi oleh pemimpin-pemimpin ini jelas beliau lagi ialah mereka ini tidak mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan rakyat Singapura kerana mereka mewakili parti yang terlalu elit.

Pemimpin-pemimpin 4G ini juga turut mengalami hal yang serupa dengan isu yang dihadapi oleh pemimpin BN, iaitu mereka bermasalah dalam sistem yang ada dan semakin menjauh daripada pengundi.

Pada dua dekad pertama selepas kewujudan Singapura pada 1959, PAP menguasai semua kerusi legislatif, namun sejak 1984, pembangkang mula menang beberapa kerusi biarpun berhadapan banyak tekanan daripada kerajaan.

PM Lee, anak kepada Lee Kuan Yew melakukan kesilapan yang sama dilakukan Najib selepas menang besar pada 2015 yang menyaksikan PAP memenangi 83 daripada 89 kerusi iaitu menyekat suara ketidakpusan hati rakyat dan gagal membuat perubahan yang diperlukan.

Pada masa sama kata Bridget lagi, Lee akhirnya menjadi laibiliti kepada parti, bukan lagi sebagai eset. Hal yang sama berlaku kepada Najib. Beberapa kepincangan mengenai pentadiran kerajaan pimpinan Lee mula dibangkitkan.

Bagaimana Singapura menangani isu 1MDB akan menjadi tumpuan rakyat Singapura untuk melihat sama ada Singapura akan memberikan respons secara efektif terhadap dakwaan kepincangan yang berlaku atau sama ada Singapura turut membeli bond 1MDB bagi mengukuhkan dana.

Sementara itu di Malaysia, sikap Mahathir yang sentiasa bersedia untuk menangani 1MDB memberikan isyarat bahawa beliau bukan sahaja berhasrat membersihkan sistem tetapi bersedia memulakan perubahan ekonomi yang lebih diperlukan.

Rasa ketidaksenangan hati rakyat Singapura semakin meningkat. Kerajaan telah meningkatkan harga air sebanyak 30 peratus dalam 2017 dan pada tahun ini GAST pula ditingkatkan dari 7 peratus kepada 9 peratus. Tarif elektrik juga pada tahun ini meningkat sebanyak 16.8 peratus.

Jika dibuat perbandingan, Malaysia telah menghapuskan GST yang tidak popular itu dan mula menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit rakyat.

Perubahan yang berlaku di Malaysia semakin mengurangkan kelebihan perbandingan serantau yang dimiliki Sinagpura. Bukan sahaja perubahan dalam pentadbiran sebelah rumah tetapi tumpuan terhadap “Malaysia Baharu” menjadikan Singapura dilihat masih dibelengu masa silam dan gagal bergerak rancak ke hadapan.

CATEGORIES