Malaysia Dateline

Malaysia Baharu: Negara bangsa harmoni

Bulan Ogos amat penting bagi Malaysia kerana negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 tahun dan kemudiannya meraikan pula Hari Malaysia sebagai mengingati penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September.

Proses pembentukan negara berdaulat ini bukannya bermula setahun dua sebelum laungan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 bergema, ia sebenarnya telah melalui tempoh pembentukannya yang lebih panjang dari itu lagi.

Peranan pihak kerajaan menggubal dan melaksanakan dasar negara yang sesuai dengan Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) ialah peruntukan mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, juga pada masa yang sama kepentingan sah kaum lain berwarganegara Malaysia dipelihara dan dijaga.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini tidak lagi bercakap tentang pembinaan negara bangsa. Mereka lebih membahaskan tentang isu politik sedangkan negara perlu dipasakkan dengan pembangunan ekonomi selari dengan pertumbuhan aspek sosial.

Pasca PRU14, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mewujudkan suasana harmoni walaupun ketika itu diasak oleh pihak pembangkang dengan memainkan isu perkauman. Kerajaan PH ketika itu memainkan peranan besar dalam memecahkan tembok perkauman.

Hanya apabila berlakunya Langkah Sheraton, sebilangan pemimpin dari gabungan PN dan Muafakat Nasional (MN) membangkitkan semula tentang perlunya penubuhan sebuah kerajaan Melayu Islam sedangkan sebelum itu, rakyat telah menikmati manfaat yang pelbagai dari mesej Malaysia Baru.

Majoritinya, rakyat langsung tidak mengendahkan isu perkauman yang dibuat oleh pembangkang ketika kerajaan PH memerintah.

Apa yang rakyat mahukan ketika itu ialah PH benar-benar membuktikan semangat Malaysia Baru. Namun, semuanya berubah apabila Langkah Sheraton dilaksanakan melalui PN, sebuah gabungan bertunjangkan teras Melayu dan Bumiputera, untuk mewujudkan sebuah kerajaan Melayu-Islam yang bercanggah dengan semangat Malaysia.

Pada saya, ini menggambarkan kerajaan PN gagal memahami di mana kedudukan perpaduan negara. Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian, kerajaan sepatutnya memelihara dan membina perpaduan dalam setiap tindakan yang dimainkan.

Permainan isu perkauman hanya akan menjatuhkan nilai negara bangsa yang kita idamkan. Malah, isu ini juga kerap dimainkan apabila menghampiri pilihan raya umum (PRU). Untuk rekod, beberapa siri PRU lepas, isu perkauman hanya dimainkan oleh parti Umno-BN dan termasuk Pas, bukannya PH.

Semua pihak tidak kira di pihak kerajaan ataupun pembangkang, perlu berada semula di landasan negara bangsa. Hanya, jangan ada usaha yang cuba merosakkannya.

Pertimbangan mewujudkan sebuah negara bangsa yang harmoni dan lengkap dengan budaya menghormati, akan mengambil masa yang lebih panjang apabila ianya mula dirosakkan.

Perpaduan ini perlu diangkat oleh semua pihak, baik ahli politik, pemimpin masyarakat, komuniti, mahasiswa malah usaha ini perlu terus dimainkan sejak di bangku sekolah.

Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke 64!

*DANIAL AL-RASHID HARON merupakan Ketua Pemuda AMANAH Selangor.