Malaysia Baharu: PBT masih di takuk lama?

Malaysia Baharu: PBT masih di takuk lama?

Sepanjang kira-kira 7 bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara, pelbagai langkah reformasi institusi dilaksanakan terutamanya di peringkat pentadbiran kerajaan persekutuan ke arah mengembalikan wibawa institusi pentadbiran dan menyuburkan demokrasi di Malaysia.

Di saat akauntabiliti demokrasi pelbagai institusi kerajaan diberi sinar pembaharuan, reformasi pentadbiran peringkat kerajaan negeri dilihat amat perlahan, lebih-lebih lagi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), yang masih belum menerima tempias akauntabiliti demokrasi ini.

Tempoh beberapa bulan pentadbiran peringkat negeri di bawah PH, rata-rata kerajaan negeri (kecuali Pulau Pinang dan Selangor) dilihat mengambil pendekatan sederhana dan kadangkala terlalu berhati-hati barangkali untuk tidak ‘menyinggung’ penjawat awam dan kakitangan kerajaan negeri, sehingga memberi persepsi bahawa kerajaan PH hanya meneruskan sahaja dasar dan program tinggalan kerajaan negeri BN terdahulu.

Walaupun pandangan ini tidak semestinya benar namun persepsi begini sukar disangkal tanpa agenda dan pelaksanaan pembaharuan yang lebih tegas dan ampuh. Pembaharuan dasar peringkat PBT juga masih belum dapat dijelmakan secara tuntas dari segi pelaksanaan dan semangat walaupun para Ahli Majlis PH telah dilantik menganggotai kerajaan tempatan ini.

Menurut maklumat laman web Jabatan Kerajaan Tempatan, PBT di negara ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Majlis/Dewan Bandaraya (jumlah penduduk tidak kurang 500,000 dan hasil tahunan melebihi RM100 juta), Majlis Perbandaran (tertumpu kepada bandar (urban) dengan jumlah penduduk yang melebihi 150,000 dan hasil tahunan melebihi RM20 juta) dan Majlis Daerah (luar bandar (rural-based) dengan jumlah penduduk kurang daripada 150,000 dan hasil tahunan kurang daripada RM20 juta).

Dengan pendapatan hasil dan bukan hasil yang begitu besar di peringkat PBT ini, tidak hairanlah PBT di era BN dahulu seakan ‘lubuk emas’ buat para pemimpin politik peringkat bahagian dan cawangan, ditambah pula dengan Ahli Majlis lantikan BN yang bersekongkol membiarkan amalan salah guna kuasa dan penyelewengan terutamanya dalam aspek kelulusan tender dan penganugerahan kontrak.

Gejala ini sudah menjadi rahsia umum dalam kalangan rakyat sendiri dengan pelbagai kisah ‘kontrak alibaba’ dan kontrak secara rundingan terus diberi kepada suku sakat pemimpin politik dan Ahli Majlis. Bahkan pelbagai kepincangan setiap PBT ini disahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan saban tahun.

Antaranya bermacam-macam teguran, pemerhatian dan rumusan audit termasuk kontrak yang dianugerahkan secara rundingan terus tanpa melalui tender atau sebut harga terbuka, pemilihan kontraktor yang tidak berkelayakan, pengesahan kerja yang tidak teliti menyebabkan kerja terpaksa dibaiki berkali-kali, peningkatan kos akibat kaedah perolehan yang tidak dirancang dengan teliti, kelemahan penyeliaan dan pemantauan, pembayaran tanpa Pesanan Kerajaan dan amalan sengaja memecah kerja menjadi Pecahan Kecil Perolehan.

Malah bukan rahsia juga PBT di era BN sering memilih untuk meminggirkan kawasan-kawasan yang dimenangi pembangkang dahulu tanpa sebarang projek infrastruktur mahupun penaiktarafan, sebaliknya menyalurkan peruntukan terbanyak dan menumpukan segala projek pembangunan hanya di kawasan-kawasan BN.

Ketidakadilan juga sering berlaku apabila sesetengah PBT dilihat mengutamakan kepentingan sesetengah kaum sahaja dalam komuniti lalu mendisriminasikan kaum lain yang turut memerlukan perhatian, sedangkan pendapatan PBT adalah daripada cukai hasil yang dikutip daripada penduduk pelbagai kaum.

Ke arah memastikan prinsip-prinsip pertanggungjawaban, integriti dan ketelusan dikembalikan di peringkat PBT, amat wajar jika kerajaan negeri melakukan penyiasatan menyeluruh dan jika perlu, audit forensik dilakukan ke atas semua PBT untuk menjejaki sebarang ketirisan, penipuan atau penyelewengan sebelum ini.

Kerajaan setiap negeri PH harus mengambil pendekatan lebih berani dan terbuka untuk menangani salah laku kerajaan terdahulu termasuk di dalam PBT, dan sebarang laporan audit forensik wajib didedahkan kepada orang awam yang terdiri daripada pembayar cukai PBT ini agar mereka maklum tentang pentadbiran mana yang harus bertanggungjawab terhadap kesalahan masa lampau, di samping menghadapkan para perasuah ke muka pengadilan.

Lantaran segala macam kebobrokan era BN dahulu, Ahli-ahli Majlis PBT di negeri-negeri PH kini tiada pilihan selain menggandakan usaha bagi mempercepatkan pembaharuan peringkat PBT dengan peranan proaktif dan berkesan. Selain sebagai pembuat dasar dan penasihat PBT, Ahli-ahli Majlis PH perlu memainkan peranan sebagai pemeriksa terhadap kuasa dan budi bicara Datuk Bandar/Yang Dipertua Majlis, pegawai dan kakitangan PBT dalam menjalankan tugas demi memastikan sistem sedia ada tidak memberi ruang kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah semasa membuat keputusan.

Ahli Majlis yang dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri ini hendaklah menentukan bahawa pengurusan pentadbiran berjalan mengikut prinsip-prinsip dan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan tanpa sebarang pengecualian, manipulasi atau jalan pintas. Saat membahas dan meluluskan belanjawan, tender, kontrak dan projek, para Ahli Majlis PH perlu memastikan tiada pembangunan yang memberi impak negatif kepada rakyat di samping mengekang segala bentuk sabotaj sehingga menyusahkan rakyat terutamanya kepada penjaja kecil, peniaga dan warga setempat.

Sementara menantikan sasaran tiga tahun pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan, para Ahli Majlis lantikan PH harus memainkan peranan secara berkesan bagi memastikan PBT juga direformasikan dalam pelbagai aspek dan menghapuskan segala amalan terdahulu yang merosakkan insitusi kerajaan tempatan ini. Setiap PBT wajar memperbaharui cara pentadbiran dengan mengutamakan ketelusan dan keterbukaan serta meningkatkan penyertaan awam dan libat urus (engagement) lebih meluas dengan setiap lapisan pihak berkepentingan dan pembayar cukai dalam proses membuat keputusan.

Banyak lagi budaya lama yang masih kekal diamalkan di peringkat PBT walaupun Malaysia telah maju ke depan dan hasrat rakyat begitu jelas mahukan pembaharuan struktural menyeluruh. Senarai kontraktor dan pembekal lama daripada era BN masih dikekalkan walaupun antaranya diketahui bukanlah usahawan tulen yang benar-benar terlibat secara langsung dalam projek.

Tindakan dan keputusan PBT berunsur sabotaj yang menjejaskan pendapatan peniaga dan penjaja kecil seperti pengezonan semula kawasan, perubahan peraturan papan tanda, perubahan aliran trafik tanpa mengambil kira pendapat penduduk dan lain-lain lagi antara contoh betapa PBT di era Malaysia baharu ini masih berada di takuk lama. Pelaksanaan projek juga masih mengikut garis panduan lama yang mudah dimanipulasi antaranya dengan pecahan projek kecil dan pengecualian untuk sebut harga secara runding terus.

Paling ketara, kecenderungan PBT melakukan ‘perbelanjaan Krismas’ untuk menghabiskan peruntukan tahunan lalu memunculkan pelbagai program yang membazir tanpa manfaat jangka panjang kepada rakyat tempatan (pembayar cukai) seperti karnival-karnival, konsert besar-besaran artis, bual bicara santai, sambutan perayaan-perayaan, tanpa ketelusan dalam kos dan perbelanjaan program, selain dalam sesetengah program sambutan terpaksa menutup jalan-jalan utama atau mengubah aliran trafik sehingga menyusahkan rakyat.

Dalam hal seperti ini Ahli Majlislah yang bertanggungjawab menyuarakan isi hati dan kehendak rakyat setempat, bukannya hanya menurut sebarang keputusan yang tidak mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak. Suara dan keberadaan Ahli Majlis dalam setiap jawatankuasa peringkat PBT haruslah memberi kesan positif agar etika perkhidmatan awam dapat diperkasakan sekali gus menghapuskan amalan pengurusan PBT yang sering menimbulkan keraguan di kalangan pembayar cukai. Sekiranya para Ahli Majlis gagal memainkan peranan semak dan imbang dengan baik, mereka bakal turut terpalit dengan segala tempias persepsi negatif pengurusan PBT yang pincang.

Ahli Majlis juga perlu efektif dalam bidang tugas masing-masing sebagaimana termaktub dalam pekeliling dan garis panduan, antaranya menyelesaikan masalah atau aduan rakyat seperti kebersihan, pelesenan, lampu jalan, trafik, sistem perparitan dalam zon masing-masing. Sekiranya tugas Ahli Majlis tidak diselesaikan dengan baik maka urusan parit dan longkang nanti terpaksa pula dipikul oleh Adun atau Ahli Parlimen, sebagaimana sering berlaku di era kerajaan BN dahulu.

Tidak dapat dinafikan amalan korup yang telah menjalar ke setiap struktur pentadbiran semua peringkat di negara termasuk PBT ini agak sukar dikikis dalam tempoh singkat, namun ini bukan alasan untuk para Ahli Majlis sekadar hadir mesyuarat mencukupkan kuorum tanpa membawa suara dan hasrat reformasi rakyat.

* Penulis ialah AJK Pimpinan AWAN Johor dan seorang peguam.