Malaysia Dateline

Malaysia Baharu perlu ada naratif Islam, masyarakat majmuk

Dilema masyarakat majmuk Malaysia telah wujud sekian lama, sejak Tanah Melayu merdeka lagi, apabila kaum dan penganut agama lain memperjuangkan hak dan ideologi masing-masing, kata Dr Zaidi Zakaria.

Ketua AMANAH Kawasan Permatan Pauh itu berpandangan, terjadinya peristiwa hitam atau tragedi membabitkan isu kaum dan agama, pemimpin parti politik cuba mencari naratif baru untuk negara, iaitu keberadaan dan halatuju pelbagai kaum dan agama.

Dr Zaidi Zakaria

Tegas beliau, dilema ini paling dirasai oleh kaum Melayu dan Islam.

Malah katanya, jika ditelusuri sejarah penentangan dan perjuangan kaum Melayu mendaulatkan Islam dan ternyata kaum Melayu itu sendiri yang telah berjaya menggagalkan Malayan Union, bahkan, sebahagian besar para pejuang Melayu-Islam tetap menolak

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka serta disifatkan sebagai ‘kemerdekaan separuh masak’.

“Sejak kemerdekaan lagi dilema masyarakat majmuk telah pun wujud.

“Atas kebimbangan tersebut maka tercatat secara khusus perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 153, hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta Perkara 3, Islam Agama Persekutuan yang menjamin masa depan Melayu/ Bumiputera serta Islam.

“Sejarah juga mencatatkan bahawa Parti PAP pimpinan Lim Kuan Yew yang memerintah Singapura, tidak setuju dengan dasar dan pelaksanaan dua perkara asas tersebut di Singapura(Umno mahu Perlembagaan Singapura diubah bagi menjamin masa depan orang Melayu ” jelasnya.

Menurut Dr Zaidi lagi, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, dilema tersebut tetap berterusan dan seperti biasa ia memunca dalam kempen pilihan raya umum sehingga memberi kesan negatif pada 13 Mei 1969.

Oleh kerana itu ujar beliau, naratif baru masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama cuba dilakukan oleh pemimpin negara dan pemimpin parti-parti politik negara ini melalui tema ‘ menyusun semula masyarakat’ dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1970.

“Kini genap 50 tahun peristiwa 13 Mei 1969, dilema masyarakat majmuk Malaysia terutamanya melibatkan isu Melayu dan Islam terus berlaku sehinggakan ada pasang surutnya.

“Tersungkurnya Umno buat kali pertama dalam sejarah negara dan DAP bersama Pakatan Harapan (PH) berkuasa menerajui pemerintahan negara, ternyata dilema ini kembali menjadi perkara utama masyarakat majmuk Malaysia.

“Malaysia Baharu dibawah pentadbiran PH perlu mempunyai naratif baru mengurus tadbir dilema ini, yakni naratif baru berhubung Melayu, Islam dan masyarakat majmuk yang konsisten, tegas dan berwibawa yang selaras dengan Perkara 153 dan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan, ” tambah beliau.

Naratif baru ini kata Dr Zaidi tidak memadai hanya dengan slogan semata-mata, tetapi amat diperlukan membabitkan perkara dasar dan pelaksanaannya secara adil untuk semua.

Beliau juga berkata, adalah mudah untuk memberi cadangan dan pandangan, tetapi pada hakikatnya itulah keperluan utama Malaysia Baharu PH hari ini.